Rakyat muak kemelut politik tak berkesudahan - Utusan Malaysia

Rakyat muak kemelut politik tak berkesudahan

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kemelut politik yang tidak berkesudahan sehingga turut menjejaskan pemulihan ekonomi negara dan diburukkan lagi dengan peningkatan kes pandemik Covid-19, menyebabkan rakyat semakin muak, jelik dan resah.

Keadaan yang berlarutan sejak tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) Mac lalu, memasuki episod baharu apabila Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa mempunyai bilangan ahli Parlimen yang cukup untuk menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyidin Yassin.

Dalam tinjauan Utusan Malaysia semalam, rakyat berpendapat, tindakan Anwar itu sebagai kemuncak kepada kemelut tersebut dan pilihan raya umum adalah langkah terbaik bagi menyelesaikan isu berkenaan.

Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Rusdi Omar berkata, kemelut politik yang berulang ketika ini memberi isyarat tidak baik kepada negara kerana ia menunjukkan Malaysia tidak mempunyai kerajaan yang kukuh, sekali gus menjejaskan pelaburan asing.

“Kemelut seperti ini menjejaskan kestabilan politik dan ekonomi yang akhirnya rakyat terpaksa menanggung sengsara. Pemimpin-pemimpin politik sepatutnya tumpu kepada masalah Covid-19. Kasihan rakyat,’’ katanya.

Seorang lagi penganalisis politik, Dr. Salawati Mat Basir berkata, pergolakan yang berlaku membimbangkan rakyat yang dibelenggu dengan ketidakstabilan ekonomi.
“Semua mengaku ada majoriti. Pada saya adalah lebih baik bubar kerajaan yang ada, buat pilihan raya walaupun menelan kos yang tinggi,” katanya.

Penganalisis politik, Muhammad Anwar Fahmi Hari Das Abdullah pula berkata, rakyat keliru apabila pemimpin politik kerap mendakwa akan membentuk kerajaan baharu sedangkan ia memberi kesan kepada pelaburan, pasaran saham, imej negara dan kualiti pemimpin sangat besar.

“Adalah lebih elok bubarkan Parlimen dan beri laluan kepada rakyat untuk membuat pilihan wakil mereka dan kerajaan baharu untuk menerajui negara,” katanya.

Pensyarah politik UUM, Prof. Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani berpendapat, pembubaran Dewan Rakyat memang jalan terakhir kepada kemelut politik tidak ada kesudahan itu tetapi tidak ada jaminan kerajaan yang kukuh akan terbentuk.

“Idealnya ialah tidak ada pilihan raya sebab mandat sampai 2023, tambahan pula sekarang ini Covid-19, ekonomi tidak stabil. Cuma apabila sudah tak ada jalan, barulah pilihan raya perlu diadakan.

“Tetapi itu bukan jaminan kerajaan kukuh dengan majoriti dua pertiga akan terbentuk. Jika itu tidak tercapai, pergolakan politik akan terus berlaku,” katanya.
Dalam pada itu, golongan muda turut mencadangkan supaya diadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan supaya usaha pemulihan ekonomi tidak terganggu dengan permainan politik kelompok tertentu.

Mohd. Fahmi Ahmad Khairi, 32, berkata, dalam keadaan kebanyakan anak muda tertekan dengan pelbagai masalah seperti kehilangan pekerjaan, masalah perniagaan sehingga terpaksa gulung tikar dan gaji terpaksa dipotong, orang politik pula asyik berebut kuasa.

“Malang bagi rakyat untuk terus melihat sikap beberapa pemimpin politik tidak kira mana-mana politik sekalipun yang sibuk mengejar jawatan supaya mereka memiliki kuasa,” katanya.

Burhanuddin Mohd. Noor, 31, berkata, apabila dipilih sebagai pemimpin, sepatutnya fokus adalah kepada usaha membina semula ekonomi negara yang sedang menurun akibat Covid-19.

Amzar Sukri, 32, berkata, isu siapa yang layak atau tidak untuk memerintah perlu dipulangkan semula kepada rakyat supaya mereka boleh memilih semula pemimpin yang mereka mahukan untuk menjadi pemimpin negara.

Seorang peniaga, Ahmad Zaini Baharun, 52, berkata, rakyat memang sudah muak dengan krisis politik yang melanda dan ia diibaratkan seperti peribahasa gajah berjuang sama gajah, pelanduk mati di tengah-tengah.

“Paling tidak bolej diterima ialah perbuatan wakil rakyat yang melompat parti, bagi saya itu satu pecah amanah. Kerajaan perlu bubarkan Parlimen dan kembalikan kuasa kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN