Perak mohon longgar tempoh penginapan pelancong di Pangkor - Utusan Malaysia

Perak mohon longgar tempoh penginapan pelancong di Pangkor

NOLEE Ashilin Mohammed Radzi (dua dari kanan) bersama P. Ramasamy (depan) yang menerima sumbangan Pencen Ilat Perkeso dan bantuan kerusi roda Malim Nawar di Kampar hari ini. - UTUSAN/ SHAARANI ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAMPAR: Perak sudah memohon kepada Kementerian Kewangan untuk memberi kebenaran kepada pelancong di Pulau Pangkor membeli barangan bebas cukai dalam tempoh 24 jam mereka menginap di pulau itu berbanding 48 jam ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, permohonan itu sudah pun dibuat kerajaan negeri kira-kira dua bulan lalu dan masih menunggu perkembangannya.

“Kerajaan negeri sudah buat permohonan supaya syarat penginapan pelancong dilonggarkan kepada hanya 24 jam sahaja tetapi masih belum mendapat keputusan,” katanya.

Beliau mengulas saranan pengusaha dan peniaga di pulau berkenaan supaya syarat tempoh masa penginapan disingkatkan daripada 48 jam kepada 24 jam untuk pelancong dibenarkan membeli barangan bebas cukai.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan bantuan pencen ilat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada penghidap spondylosis, P. Ramasamy di Malim Nawar dekat sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Perkeso Perak, Anthony Arul Dass.

Dalam pada itu, Nolee Ashilin berkata, sektor pelancongan negeri menunjukkan perkembangan sangat memberangsangkan dengan Pulau Pangkor menjadi destinasi domestik dalam negeri yang menjadi pilihan utama pelancong.

Katanya, jumlah kedatangan pelancong ke Pulau Pangkor selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) memperlihatkan perkembangan yang sangat positif.

“Kehadiran pelancong ke Pangkor sangat tinggi, begitu juga dengan jumlah pelancong di beberapa destinasi lain di Perak.

“Sehingga hari ini, jumlah pelancong yang datang ke Perak jauh lebih baik daripada apa yang dijangkakan dengan jumlah tempahan bilik hotel mencecah 67,000 daripada 50 sampel hotel,” katanya.

Beliau berkata, perkara yang menjadi masalah adalah dari aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) berikutan jumlah kehadiran pelancong yang terlalu ramai.

Katanya, sepanjang tiga hari bermula Jumaat hingga Ahad minggu lalu, sebanyak 43 perjalanan feri pergi dan balik ke Pangkor disediakan setiap hari dengan jumlah penumpang keseluruhan seramai 14,000 bagi perjalanan ke Pangkor manakala 12,000 bagi perjalanan ke Lumut.

“Selain Pangkor, Ipoh dan Gopeng turut menerima statistik kedatangan pelancong yang tinggi diikuti Royal Belum dan Taiping yang turut mencatatkan bilangan tempahan bilik yang tinggi,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya