Penunggang basikal tidak setuju cadangan dikenakan lesen, plat - Utusan Malaysia

Penunggang basikal tidak setuju cadangan dikenakan lesen, plat

Aktiviti berbasikal kini menjadi tren.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Rata-rata pengayuh basikal tidak bersetuju cadangan setiap basikal di negara ini perlu mengikut syarat seperti kenderaan bermotor sekali gus menyifatkan langkah tersebut hanya menyusahkan.

Sebaliknya mereka mencadangkan agar kerajaan menyediakan lebih banyak kemudahan dan laluan berbasikal khususnya di kawasan-kawasan bandar selain mengetatkan penguat kuasaan agar pengayuh basikal tidak menggunakan lebuh raya untuk aktiviti tersebut.

Seorang kakitangan awam, Wan Mohd. Hazimin Wan Hanif,34, berkata, aktiviti berbasikal sekarang dilihat menjadi tren dan tidak pasti sama ada akan berterusan atau sebaliknya.

“Tidak perlu lesen sebaliknya kerajaan sediakan banyak kemudahan berbasikal dan yang penting elak kayuh di lebuh raya kecuali jika ada pihak keselamatan mengawal mereka,” katanya yang aktif berbasikal sejak tiga tahun lalu.

Utusan Malaysia semalam melaporkan cadangan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) setiap basikal di negara ini perlu didaftar, dilesen dan diletakkan nombor plat pendaftaran sama seperti kenderaan bermotor demi menjaga keselamatan penunggang basikal daripada terdedah dengan kemalangan jalan raya.

Sementara itu, kakitangan swasta, Kang Terry, 38, berkata, cukuplah sekadar basikal itu dilengkapi ciri keselamatan seperti lampu, brek yang berfungsi dengan baik selain para pengayuh memakai kelengkapan mematuhi aspek keselamatan seperti topi keledar.

Dia yang mula aktif berbasikal sejak dua tahun lalu berkata, yang penting, para pengayuh itu sendiri perlu mempunyai kesedaran sendiri dalam menjaga keselamatan diri ketika berada di jalan raya atau di mana-mana sahaja kawasan.

“Agak tidak masuk akal basikal perlu didaftar, dilesenkan kerana ia akan mengelirukan orang ramai khususnya yang menjadikan aktiviti berbasikal sekadar hobi,” katanya.

Azrin Zulkifli, 34, pula berkata, jika basikal perlu dilesenkan, bagaimana pula dengan kanak-kanak yang banyak menggunakan basikal khususnya untuk ke sekolah.

“Saya tidak nampak cadangan ini sesuai dan jika hendak dilaksanakan memerlukan kajian yang benar-benar menyeluruh untuk kebaikan semua pihak,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) belum mengadakan pertemuan dengan agensi penguat kuasa lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berkaitan isu itu.

Ujarnya, Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kaedah-kaedah lalu lintas ada menyatakan kenderaan serta syarat-syarat yang dibenarkan ketika berada di atas jalan raya.

“Cadangan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) hanya pandangan mereka dan kita masih belum berbincang mengenai perkara itu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Dalam pada itu, Azisman turut memberitahu, kemalangan membabitkan penunggang basikal amat kurang berbanding motosikal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN