Peniaga nasi lemak menangis didakwa dera anak rakan  - Utusan Malaysia

Peniaga nasi lemak menangis didakwa dera anak rakan 

JULAILI Md. Said, 40, diiringi anggota polis selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Alor Gajah atas pertuduhan mendera anak kenalannya berusia enam tahun antara Mei dan September lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Seorang penjual nasi lemak hanya mampu mengalirkan air matanya selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan mendera anak rakannya berusia enam tahun.

Tertuduh, Julaili Md. Said, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Ahmad Sazali Omar.

Mengikut pertuduhan pertama, ibu lima anak itu didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun telah mengabaikan atau mendedahkan kanak-kanak itu dengan cara mungkin akan mengalami kecederaan fizikal. 

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh juga didakwa bersama-sama dengan seorang yang masih bebas dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan terhadap kanak-kanak sama sehingga menyebabkan tangan kiri mangsa patah. 

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Taman Seri Paya Rumput, Masjid Tanah antara pukul 8 pagi hingga 12 tengah malam antara Mei dan September tahun ini. 

Difahamkan kanak-kanak perempuan berkenaan dijaga oleh tertuduh bersama suaminya sejak Hari Raya Aidilfitri lalu memandangkan ibu mangsa yang merupakan penagih dadah dan ayahnya sedang menjalani hukuman penjara.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Arthana Sarma Rao tidak mencadangkan sebarang jaminan kerana mangsa merupakan kanak-kanak. 

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah atas alasan perlu menjaga lima orang anak dengan dua daripada mereka masing-masing menghidap penyakit talasemia dan asma selain hanya berniaga nasi lemak untuk menyara keluarga.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, Mohd. Sazali membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan tarikh 26 Oktober depan sebagai sebutan semula kes serta lantikan peguam. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya