Penduduk bantah kerajaan mahu bina asrama parol - Utusan Malaysia

Penduduk bantah kerajaan mahu bina asrama parol

SEBAHAGIAN penduduk membantah pembinaan asrama parol di Kampung Teluk Nipah di Kota Kuala Muda, Sungai Petani, Kedah, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Kira-kira 1,000 penduduk Kampung Teluk Nipah di Kota Kuala Muda dekat sini membantah cadangan Jabatan Penjara Malaysia menjadikan bekas Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Sri Kandi sebagai asrama parol bagi Program Pemulihan Pemasyarakatan.

Pengerusi Jawatankuasa Ber­tindak, Sulaiman Ahmad, 63, mendakwa, kerja-kerja asas pembinaan sudah dimulakan dengan pembersihan kawasan bagi membina pagar tinggi selain proses membaik pulih blok pe­nempatan.

Difahamkan katanya, lebih 200 penghuni bakal ditempatkan di asrama berkenaan.

“Ini kali ketiga bantahan berhubung pembinaan asrama parol dilakukan penduduk kampung,” katanya ketika ditemui selepas membuat bantahan cadangan tersebut bersama 50 penduduk Kampung Teluk Nipah di Kota Kuala Muda di sini semalam.

Beliau memberitahu, bantahan kali pertama dibuat pada November 2017 selepas satu sesi dialog diadakan bersama JPM Alor Setar dan Kuala Lumpur.

“Tahun lalu, ada ura-ura ia akan dibina tetapi dibatalkan selepas surat bantahan penduduk dihantar kepada pihak mereka.

“Namun begitu, pada tahun ini, penduduk sekali lagi dikejutkan berita pembinaan asrama parol ini diteruskan tanpa sebarang rundingan,” dakwanya.

Sementara itu, seorang penduduk kampung, Rashid Shaari, 63, berkata, sebagai destinasi tumpuan pelancong, tidak sesuai kawasan itu dijadikan lokasi asrama parol.

“Di kawasan berdekatan juga terdapat banyak rumah inap desa untuk pelancong, jadi saya rasa tidak sesuai jika asrama parol ini dibina di tempat tumpuan pelancong seperti ini,” katanya.

Menurut Rashid, penduduk yang tinggal berdekatan kawasan kem sebelum ini juga pernah mendakwa tidak selesa dengan tindakan segelintir pelatih PLKN melakukan vandalisme terhadap harta benda penduduk setempat.

“Kita bimbang kes jenayah di kawasan ini akan meningkat sehingga menjejaskan imej kampung sekali gus menjejaskan pendapatan penduduk setempat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya