Pemain Melaka United perlu jalani kuarantin - Utusan Malaysia

Pemain Melaka United perlu jalani kuarantin

RAHMAD Mariman (tengah) ketika melakukan lawatan kerja ke Pusat Hemodialisis Komuniti Melaka, di Klinik Kesihatan Cheng di sini hari ini. UTUSAN/ RIZANIZAM ABDUL HAMID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pemain pasukan Melaka United (MU) yang pulang dari Sabah selepas bertemu skuad Tambadau pada perlawanan Liga Super malam tadi turut tidak dikecualikan menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Rahmad Mariman berkata, Jabatan Kesihatan negeri secara tegas akan memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) merangkumi semua aspek bagi memutuskan penularan pandemik Covid-19.

“Siapa sahaja yang pulang dari Sabah perlu menjalani HSO termasuk Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh yang kini sedang menjalani kuarantin di rumah.

“Saya yakin tiada pengecualian kerana SOP ini terpakai untuk semua pihak,” katanya pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja ke Pusat Hemodialisis Komuniti Melaka di Klinik Kesihatan Cheng di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Rahmad berkata, perkara itu selaras dengan pengumuman yang dibuat oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah agar semua individu yang tiba dari Sabah akan disaring di pintu masuk domestik dan antarabangsa bermula semalam hingga 10 Oktober depan.

Semalam, Kementerian Kesihatan mengesan tiga kluster baharu iaitu dua di Sabah dikenali kluster Buang Sayang dan kluster Kg Sakong, sementara di Kuala Lumpur pula dikenali Kluster Setapak.

Kluster Buang Sayang dikesan di Sipitang, Sabah, dengan kes indeks (kes ke-10,265) mempunyai sejarah perjalanan ke Sipitang dari 7 hingga 20 September.

Sementara itu, Rahmad berkata, seramai 39 kontak rapat membabitkan dua kes baharu yang disahkan positif Covid-19 di Jasin sudah dikenal pasti dan telah menjalani ujian saringan Covid-19.

 Ujarnya, kesemua mereka kini sedang menjalani kuarantin di rumah sementara menunggu keputusan ujian saringan.

“Bagi kes pertama seramai 28 kontak rapat dikenal pasti dan diikuti 11 individu kepada kes kedua yang disahkan positif Covid-19. Susulan itu Jabatan Kesihatan negeri telah melakukan proses disinfeksi di kediaman pesakit, premis pekerjaan serta lokasi yang terbabit,” katanya.

 Mengulas lanjut, beliau berkata, sebanyak 10,507 premis diperiksa Jabatan Kesihatan Negeri dalam memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Jun sehingga Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

 “Dalam tempoh itu juga sehingga semalam, sejumlah 181 notis amaran dikeluarkan dengan 909 kompaun dikeluarkan pihak JKN,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.