Pantai Puteri boleh 'lenyap' dari peta Malaysia. - Utusan Malaysia

Pantai Puteri boleh ‘lenyap’ dari peta Malaysia.

KEADAAN pokok rhu yang tumbang baru-baru ini ekoran hakisan pantai di Pantai Puteri, Tanjung Kling. -UTUSAN/RIZANIZAM ABDUL HAMID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Isu hakisan laut di Pantai Puteri yang semakin ketara sejak tujuh bulan lalu tidak mustahil boleh mengakibatkan pantai pelancongan tumpuan pelancong itu ‘lenyap’ dari peta Malaysia. 

Itu kebimbangan disuarakan lebih 300 masyarakat nelayan dan peniaga di pantai peranginan sepanjang 2.1 kilometer yang selama ini menjadi lubuk rezeki buat mereka sejak puluhan tahun lalu.

Ketua Nelayan Pantai Kundor dan Pantai Rombang di Pantai Puteri, Azmi Leman, 52, berkata, hakisan laut di pantai berkenaan dikesan semakin teruk sejak Februari lalu, namun semakin serius pada Julai lalu.

“Selain fenomena air pasang besar yang menyebabkan hakisan, faktor lain seperti isu penambakan laut dan kapal-kapal besar yang berlabuh di tengah laut turut memberi kesan kepada pendapatan kami.

“Kalau dahulu kami boleh dapat hasil tangkapan sehingga RM200 hingga RM300 sehari, sejak kebelakangan ini hendak dapat hasil jualan RM50 pun susah.

“Pernah juga kami pulang hampa kerana langsung tiada hasil tangkapan kesan daripada penambakan laut dan kapal berlabuh yang merosakkan kawasan hidupan laut,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Kesan sama dirasai peniaga makanan di persisiran pantai yang terletak kira-kira 17 kilometer daripada pusat bandar itu sekaligus menjadi pantai pelancongan terdekat dengan pusat bandar Melaka.

Peniaga, Nur Hidayah Ab. Latif, 31, berkata, pendapatannya turut terjejas sehingga 50 peratus apabila pantai berkenaan semakin kurang dikunjungi pelancong akibat hakisan tebing yang menumbangkan banyak pokok rhu di situ.

“Sejak berniaga di sini dua tahun lalu, setiap hujung minggu kutipan jualan boleh cecah sehingga RM600 sehari tetapi merosot kepada hanya RM250 sejak beberapa bulan lalu.

“Pelancong dari luar memberi alasan takut untuk berkhemah di sini seperti dahulu kerana bimbang ditimpa pokok rhu yang tumbang.

“Memang sejak kebelakangan ini, setiap minggu ada sahaja kejadian pokok rhu tumbang namun mujurlah ia tidak membabitkan kemalangan jiwa,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan mengakui turut simpati dengan masalah dihadapi dan sedang berusaha memastikan Pantai Puteri tidak ‘lenyap’ dari peta Malaysia.

“Satu persatu pokok rhu sudah tumbang menyembah bumi daripada dulu kita ada 10 baris pokok, kini hanya tinggal empat atau lima sahaja malah ada yang bahagian yang tinggal satu lapisan pokok rhu sahaja, saya bimbang kalau tiada tindakan diambil, maka tiada lagi Pantai Puteri selepas ini,” katanya.

Ujar Nor Azman, sebagai jalan penyelesaian beliau telah berbincang dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri untuk meneliti kertas kerja pemasangan penahan ombak untuk mengurangkan hakisan laut menggunakan kaedah ‘Geotube’ yang dianggarkan bernilai RM15 juta.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya