Pahang hilang 1.05 juta pelancong sebulan - Utusan Malaysia

Pahang hilang 1.05 juta pelancong sebulan

WAN ROSDY WAN ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Industri pelancongan di negeri ini berhadapan cabaran besar apabila kehilangan kira-kira 1.05 juta pelancong sebulan sejak Mac lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kehilangan pelancong mendadak itu amat membimbangkan kepada semua industri pelancongan sekali gus memberi kesan kepada pencapaian sasaran 15 juta pelancong tahun ini.

Bagaimanapun katanya, kerajaan negeri komited memastikan industri itu bangkit dan berdaya saing dengan merancang pelbagai inisiatif bagi meningkatkan semula kemasukan pelancong khususnya bagi pelancongan domestik.

“Antara perkara yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan pada ketika ini adalah dengan meningkatkan aktiviti pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar di seluruh Pahang terutamanya bagi tempat-tempat tumpuan yang boleh dijadikan pusat eko pelancongan

“Terbaharu kerajaan negeri telah berjaya dalam usaha untuk memulihkan kawasan Sungai Ichat di Cameron Highland, yang teruk akibat pencemaran yang disebabkan oleh aktiviti pekebun haram. 

“Sungai Ichat, yang sebelum ini tercemar teruk kini boleh digunakan untuk aktiviti riadah terkawal dan ini merupakan kejayaan yang besar kepada seluruh anak negeri Pahang,” katanya di sini hari ini.

Menurut Wan Rosdy, pada 2018, Pahang mencatatkan jumlah pelancong tertinggi dengan jumlah sebanyak 13.4 juta orang dan mensasarkan seramai 15 juta orang pelancong bagi tahun ini.

Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri  turut merancang memajukan Tanjung Gemok yang merupakan pintu masuk ke Pulau Tioman, Rompin sebagai hab pelancongan negeri Pahang dengan 122 projek cadangan di bawah draf Rancangan Kawasan Khas (RKK) Tanjung Gemok.

Tambahnya, kerajaan negeri telah melaksanakan usaha menaiktaraf Taman Negeri Rompin yang akan dibuka kepada orang awam pada 1 Oktober ini.

“Bersempena dengan Hari Pelancongan Sedunia 2020 ini, saya berharap agar semua pihak sama ada yang terlibat secara langsung atau tidak langsung di dalam industri pelancongan dapat bersama-sama membangunkan semula sektor pelancongan Negeri Pahang.

“Kepada seluruh rakyat Malaysia, jemputlah datang ke negeri Pahang, nikmatilah khazanah alam yang unik dan lawatilah tempat-tempat yang menarik di sini,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.