Orang ramai cemas kereta dibiarkan hidup , lampu menyala dalam sungai - Utusan Malaysia

Orang ramai cemas kereta dibiarkan hidup , lampu menyala dalam sungai

Anggota bomba dan penyelamat memeriksa kereta Audi A6 yang ditemukan di dalam sungai di bawah jejambat Jalan Lingkaran Tengah, Rasah, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebuah kereta Audi A6 yang berada dalam sungai di bawah jejambat Jalan Lingkaran Tengah, Rasah, dekat sini mencetuskan tanda tanya dan rasa cemas orang ramai yang melalui jalan tersebut pagi semalam.

Kereta itu dipercayai kemalangan dan terjunam ke dalam sungai tetapi pemandunya tidak ditemukan.

Namun selepas operasi mencari dijalankan oleh anggota Bomba dan Penyelamat, rupa-rupanya kereta dengan enjin masih hidup, lampu menyala itu ditinggalkan begitu sahaja oleh pemandunya selepas nahas awal pagi.

Komander Operasi, Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Timbalan Penguasa Bomba, Mohamad Idris berkata, pihaknya tiba di lokasi kejadian pada pukul 8.02 pagi dan bergegas melakukan kerja-kerja pencarian mangsa di dalam sungai.

Katanya, mereka menerima panggilan pada pukul 7.30 dan menghantar sepasukan 18 anggota dan tiga pegawai untuk operasi menyelamat.

“Semasa tiba di lokasi kejadian, enjin kenderaan masih hidup dan kami mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mencari mangsa dengan menyusuri tebing sungai kira-kira 500 meter di kiri dan kanan lokasi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Bagaimanapun Mohamad menjelaskan, pihaknya kemudian menerima maklumat daripada orang awam yang memaklumkan mengenali mangsa kemalangan tersebut.

Susulan itu, pihaknya telah menghantar dua anggota untuk memeriksa sekiranya mangsa berada di rumah yang terletak berdekatan dari lokasi kejadian iaitu di Kampung Abok.

“Mangsa, Zaini Abdullah, 20, berada dalam keadaan selamat dan sehubungan itu operasi ditamatkan pada pukul 8.56 pagi.

“Mangsa memaklumkan dia terlelap kerana kepenatan sebelum terjunam ke dalam sungai pada pukul 5 pagi. Mangsa keluar daripada kenderaan sendiri dan berjalan kaki pulang ke rumah,” katanya.

Menurut Mohamad lagi, mangsa masih belum membuat laporan berhubung kejadian tersebut. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya