NGO hantar memorandum kepada Istana Selangor - Utusan Malaysia

NGO hantar memorandum kepada Istana Selangor

Masalah bekalan air berulang lagi di Lembah Klang ekoran pencemaran yang berlaku di Sungai Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Gerakan Belia 4B Kota Raja akan menghantar memorandum kepada Istana Selangor berhubung masalah gangguan bekalan air yang menimpa rakyat negara ini.

Pengerusinya, Mustakhim Zainoor berkata, masalah bekalan air sejak sedekad lalu bukan sahaja menyebabkan hidup rakyat menjadi azab, malah, semakin parah setelah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) diteruskan.

Oleh demikian beliau berkata, pihaknya akan menghantar memorandum kepada pihak istana untuk memohon masalah tersebut diselesaikan.

“Isu masalah gangguan air ini bukan asing lagi dan pada tahun ini sepatutnya tidak lagi berulang,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini semalam.

Sementara itu, penduduk sekitar menggesa supaya tindakan tegas diambil terhadap pemilik kilang yang menyebabkan gangguan bekalan air menimpa rakyat di Kuala Lumpur dan Selangor.

Salah seorang penduduk, Norolazmi Ab Hassan, 66, berkata, individu tidak bertanggungjawab yang menyebabkan gangguan bekalan air seakan-akan tidak gentar dengan hukuman dikenakan terhadap mereka kerana mengulangi perbuatan itu.

“Denda yang dikenakan sebelum ini mungkin amat rendah kepada mereka, sehingga berani untuk membuang sisa kimia ke dalam Sungai Selangor sekali lagi.

“Oleh demikian, saya kerajaan negeri seharusnya mengenakan denda yang berpatutan bagi mengelakkan perkara sama berulang. Kompaun yang tinggi wajar dikenakan kerana majoriti penduduk Lembah Klang mengalami gangguan air sehingga menjejaskan urusan seharian mereka,” katanya ketika ditemui di pusat agihan air di Seksyen 4 di sini semalam.

Seorang lagi penduduk, Zulfatah Shuaib, 48, berkata, kerajaan Selangor tidak boleh lagi berlembut dengan syarikat tersebut atau mana-mana pihak yang melakukan pencemaran di mana-mana pusat sumber air di negeri tersebut.

Menurutnya, selain untuk kegunaan individu, beberapa sektor industri turut terjejas apabila bekalan air diberhentikan oleh Pengurusan Air Selangor (Air Selangor).

“Saya lihat banyak kedai makan yang tutup di sekitar ini kerana tidak ada air untuk mereka beroperasi,” ujarnya. – MINGGUAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN