McDonald's Tampin serlah reka bentuk Negeri Sembilan - Utusan Malaysia

McDonald’s Tampin serlah reka bentuk Negeri Sembilan

RAZALI Ab. Malik (hadapan, empat dari kiri) bersama Suhaiza Sharudin (hadapan, empat dari kanan) dan Felina Lim (hadapan, tiga dari kanan) bergambar di hadapan restoran McDonald's Tampin yang mula dibuka hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Restoran makanan segera, McDonald’s yang baru dibuka di Tampin tampil dengan keunikan tersendiri apabila bangunannya mengambil seni bina bumbung panjang iaitu rumah tradisional Negeri Sembilan.

Ini menjadikan satu-satunya restoran McDonald’s dalam negara berkonsepkan sedemikian rupa.

Yang Dipertua Majlis Daerah Tampin, Suhaiza Sharudin berkata, restoran makanan segera berkenaan mengambil masa kira-kira setahun untuk disiapkan sebelum dibenarkan beroperasi.

Ia juga mendapat khidmat nasihat serta rujukan daripada pihak Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS) bagi mengetengahkan keunikan seni bina negeri ini.

Tambahnya, pembukaan restoran makanan segera tersebut, selain membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat, ia bakal menjadi tarikan pelancongan di daerah ini.

“Sebelum ini, tapak restoran ini merupakan tapak Rumah Rehat Tampin yang sudah lama tidak beroperasi, jadi, kami sahut saranan kerajaan negeri untuk mempelbagaikan hasil dengan mewujudkan kerjasama dengan Gerbang Alaf Restaurants Sdn. Bhd. untuk menjadikan lokasi strategik ini sebagai tarikan pelancongan.

“Kami juga yakin lokasi ini akan dapat dihidupkan kembali lebih-lebih lagi lokasinya terletak di tepi jalan utama Tampin-Seremban,” katanya kepada pemberita sempena Majlis Pembukaan McDonald’s Tampin, di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Dr. Razali Ab Malik, Pengarah Kanan Operasi, McDonald’s Malaysia, Felina Lim dan Pengurus Besar Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RHMC), Mohd. Nasri Mohd. Nordin.

Sementara itu, Felina berkata, restoran McDonald’s di Tampin merupakan restoran yang ke-302 di negara ini dan yang ke-12 di Negeri Sembilan.

Menurutnya, restoran McDonald’s di Tampin itu juga akan dilengkapi kemudahan ‘sensory room’ yang bakal digunakan oleh kanak-kanak berkeperluan khas seperti autisme.

“Ini menjadikannya sebagai satu-satunya restoran Mcdonald’s di negara ini yang menawarkan khidmat berkenaan di dalam restoran. McDonald’s Tampin juga merupakan antara restoran setingkat terbesar di negara ini,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya