KPKT cadang penghuni flat pindah ke Rumah Selangorku - Utusan Malaysia

KPKT cadang penghuni flat pindah ke Rumah Selangorku

ZURAIDA KAMARUDDIN (tiga dari kiri) beramah mesra dengan salah sebuah keluarga penghuni flat Taman Sri Berembang selepas melakukan lawatan kerja di flat itu
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELABUHAN KLANG: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mencadangkan supaya 30 penduduk di blok C di  Flat Taman Sri Berembang dipindahkan di flat projek Rumah Selangorku.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, pihaknya difahamkan terdapat flat Rumah Selangorku yang berhampiran dengan kawasan Taman Sri Berembang yang terjejas teruk dan hampir roboh itu.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini, pihaknya belum mengadakan sebarang perbincangan dengan kerajaan negeri berhubung pemindahan sementara melibatkan penduduk di flat tersebut.

“Semua penduduk perlu dipindahkan segera kerana kerosakan rumah yang dialami mereka  amat teruk dan memerlukan tindakan bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

“Malah, antara langkah yang boleh diambil ialah membina sebuah flat kos rendah baharu diperlukan bagi menempatkan penduduk Flat Taman Sri Berembang menggantikan kediaman sedia ada yang mengalami kerosakan teruk.

“Namun, pembinaan flat kos rendah itu memerlukan tanah daripada kerajaan negeri Selangor,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di kawasan flat tersebut di Pelabuhan Klang, di sini, hari ini. 

Terdahulu, penduduk di Flat Sri Berembang di sini menyatakan kebimbangan berhubung beberapa keretakan yang dialami mereka sejak tujuh tahun lalu.

Penduduk di flat tersebut mengalami keretakan teruk sehingga struktur bangunan retak selain dinding hampir roboh serta tembok dan tangga mula pecah.

Dalam pada itu, Zuraida berkata, kerosakan yang berlaku di flat tersebut tidak dapat dibaiki kerana sekiranya dibaiki akan mengakibatkan kerosakan keseluruhan struktur bangunan. 

Jelasnya, sebelum ini, kementerian telah menerima aduan daripada penduduk flat bahawa bumbung mereka terbang pada tahun 2017. 

“Namun, kita tidak boleh membuat pembaikan bumbung kerana melibatkan struktur. Sekiranya kerosakan tersebut dibaiki, akan mengakibatkan kesan rantaian terhadap struktur flat itu.

“Kementerian memperuntukkan RM50 juta untuk membina sebuah flat bagi menampung 3,000 penduduk di lima buah blok flat berkenaan. 

“Kita berharap semua pihak termasuk pemaju flat berkenaan dapat bekerjasama bagi menyelesaikan masalah yang membelenggu penduduk di situ sejak sekian lama,” ujarnya.

Tambahnya, pihaknya juga dimaklumkan oleh penduduk bahawa pemaju flat ini memiliki tanah berdekatan flat. 

“Oleh demikian, kita minta pemaju berjumpa pihak kementerian untuk berbincang sekiranya mereka boleh bekerjasama dengan KPKT untuk membina sebuah flat kos rendah,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.