‘Kecewa itu tak boleh nafi’ - Utusan Malaysia

‘Kecewa itu tak boleh nafi’

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pendirian pucuk pimpinan Pas untuk tidak bertanding demi memberi laluan kepada sekutunya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, diakui mengecewakan sebahagian besar ahli dan penyokong parti itu.
Menurut Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Pas terlibat sejak awal dalam rundingan pembahagian kerusi, termasuk mendesak diberi laluan bertan­ding dalam pilihan raya tersebut.
Bagaimanapun katanya, terdapat beberapa aspek berkaitan strategi menghadapi PRN Sabah telah dikenal pasti dan perkara itu menuntut Pas menjadi sebuah parti yang ‘berjiwa besar’.
“Alhamdulillah walaupun rasa kecewa itu tak boleh nafi, memang ada di mana-mana, tetapi keseluruhannya kepim­pinan Pas Sabah serta jentera parti akur dengan keputusan dan kenyataan dibuat Presiden.
“Kita boleh urus, insya-Allah. Ahli Pas terkenal sebagai ahli yang patuh pada parti,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Muktamar Dewan Pemuda Pas Ke-61 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa semalam.
Sebelum ini, pimpinan Pas menyatakan hasrat untuk bertanding di sekurang-kurangnya enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRN Sabah, berbanding 18 kerusi DUN semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Bagaimanapun kelmarin, Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan pendirian rasmi parti itu untuk memberi laluan kepada rakan sekutunya bertanding di ke­semua 73 kerusi DUN Sabah.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim menyifatkan ‘ketiadaan’ Pas dalam persaingan PRN Sabah sebagai sebahagian daripada strategi parti bagi mengelak perangkap pihak musuh politik.
“Kalau kita turut bertanding, nanti akan timbul pertembungan sesama sendiri. Natijahnya membawa kerugian kepada PN (Perikatan Nasional) sehingga beri ruang kepada lawan mencapai kemenangan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, jawatankuasa rundin­gan kerusi melibatkan parti dalam gabungan PN bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) telah selesai bermesyuarat kali pertama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya