Kabinet akan bincang isu Felda - Utusan Malaysia

Kabinet akan bincang isu Felda

MUSTAPA Mohamed bercakap kepada pemberita selepas Majlis Perbincangan Meja Bulat Mengenai Membasmi Kemiskinan dan Menangani Kerentanan Dalam Normal Baru bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Hotel Marriot, Putrajaya, di sini, hari ini. -UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kabinet akan membincangkan dalam tempoh terdekat mengenai laporan penuh Pasukan Khas Menangani Isu Felda yang dipengerusikan Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pihaknya masih mengadakan perbincangan dengan pengurusan tertinggi Felda menerusi sesi libat urus yang diadakan termasuk usaha pengukuhan kewangannya.

“Kita hampir ke penghujung dan dalam proses dibawa ke kabinet untuk dibincangkan dalam tempoh terdekat. Tan Sri Wahid dalam proses untuk mengemukakan laporan kepada kerajaan dan apabila tiba masanya kerajaan akan membuat pengumuman mengenai perkara itu.

“Kita mengadakan banyak perbincangan dan sesi libat urus termasuk yang terakhir malam semalam,” katanya ketika ditemui media selepas mempengerusikan sesi meja bulat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) bersama United Nations (UN) di Putrajaya Marriot Hotel di sini hari ini.

Pengumuman mengenai penubuhan Pasukan Khas Menangani Isu Felda dibuat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika merasmikan sambutan Hari Peneroka Felda Peringkat Kebangsaan 2020 Julai lalu di Perak dalam usaha mengenal pasti kaedah terbaik bagi menjamin kelestarian kewangan Felda demi manfaat warga peneroka.

Mengulas mengenai ura-ura sama ada Felda akan diswastakan, Mustapa berkata, pelbagai cadangan dibuat merangkumi dua perkara yang perlu diteliti terlebih dahulu.  

“Pertama kita hendak selesaikan beberapa masalah jangka pendek melibatkan aliran tunai yang dihadapi kerana hutang begitu tinggi. Kedua, Felda perlu menjadi sebuah organisasi yang lestari dan perlu melihat kepada modul baharu Felda,” jelasnya.

Mengenai sesi meja bulat itu, beliau berkata, program itu bertujuan mendapatkan pandangan dalam menangani isu kemiskinan dengan lebih berkesan termasuk proses mendapatkan input dalam penyediaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Katanya, Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) baharu akan digunakan tahun depan dalam mengukur garis kemiskinan rakyat negara ini kerana melibatkan proses libat urus dengan semua pemegang taruh. 

“Ada cadangan supaya kita lebih bersasar dalam menangani garis kemiskinan kerana keadaannya berbeza daripada satu daerah ke daerah yang lain termasuk di Kuala Lumpur yang kadar kemiskinannya sedikit tinggi daripada kadar nasional. Apapun, kita akan mengambil kira dalam menggubal dasar nanti,” katanya.

Menyentuh tentang Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada 6 November nanti, pihaknya masih giat mengadakan perbincangan bersama Kementerian Kewangan khususnya dalam menggubal bajet pembangunan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.