KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan memberi amaran agar tiada pihak yang merampas tugas MIC sebagai wakil masyarakat India di negara ini.
Dalam wawancara bersama Mingguan Malaysia baru-baru ini, beliau menyatakan rasa kurang senang langkah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menubuhkan sayap bukan bumiputera yang disifatkan bakal memecah-belahkan solidariti masyarakat India.
“MIC tidak rasa tergugat, tetapi memang rasa kurang senang terhadap tindakan Bersatu itu. Apabila MIC bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN), tanggungjawab kita adalah untuk memastikan MIC dapat membawa sokongan masyarakat India.
“Kita hanya boleh bawa masuk sokongan masyarakat India melalui parti tunggal dalam mana-mana komponen,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Sumber Manusia berkata, hal urus tadbir masyarakat India harus digalas oleh pemimpin mereka sendiri.
“Tidak perlu mana-mana pemimpin lain menjadi bapa pembangunan masyarakat India. Biar pemimpin India menjadi bapa pembangunan kaum itu sendiri,” tegasnya.
Justeru katanya, Bersatu harus mempertimbangkan semula tindakan menubuhkan cabang baharu bukan Melayu yang hanya akan mendatangkan masalah kepada MIC yang kini menjadi sebahagian komponen kerajaan PN.
Dalam perkembangan lain, Saravanan berkata, MIC kini memiliki aset bernilai RM1 bilion bagi tujuan pembangunan masyarakat India.
“Berbanding dengan parti lain, MIC satu-satunya parti yang walaupun bukan kerajaan tetapi masih boleh membantu masyarakat India dari segi bantuan kewangan untuk pendidikan,” katanya. – MINGGUAN










