Hanya Agong boleh tentukan dakwaan Anwar - Utusan Malaysia

Hanya Agong boleh tentukan dakwaan Anwar

ABDUL AZIZ BARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Hanya Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah boleh menentukan sama ada benar atau sebaliknya dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim memiliki sokongan cukup daripada anggota Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.

Pakar Perlembagaan, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, ini dapat dilakukan dengan menerima menghadap Presiden PKR itu bagi mempersembahkan dakwaannya kepada Yang di-Pertuan Agong.

Menurut beliau, perkara itu menjadi kemestian supaya kenyataan Anwar itu dapat diteliti kebenarannya oleh Yang di-Pertuan Agong setelah pemimpin parti dalam Perikatan Nasional (PN) menyifatkan kenyataan Anwar sekadar dakwaan.

“Dari segi undang-undang, dalam situasi sekarang semuanya atas Yang di-Pertuan Agong untuk menentukan siapa betul, Anwar atau Muhyiddin,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Abdul Aziz yang juga Naib Pengerusi DAP Perak percaya dakwaan Anwar semalam ada kebenarannya kerana jika tidak, Presiden PKR itu tidak mungkin akan mengumumkannya.

“Kalau tak ada jumlah ahli Parlimen yang mencukupi, tak kan Anwar nak buat kenyataan.

“Orang politik ni memperjudikan krebilitinya, jika berbukti tidak betul, tak ada jumlah yang dikatakan, dia akan dikutuk dan ditolak selamanya,” katanya.

Abdul Aziz tidak menolak kemungkinan bagi menyelesaikan kemelut politik yang berpanjangan, tidak mustahil Yang di-Pertuan Agong akan menitahkan Parlimen dibubarkan.

“Sekarang terlalu banyak dakwaan dan penafian. Jika Yang di-Pertuan Agong mahu neutral, baginda mungkin menitahkan Perdana Menteri bubar dewan, tapi kalau Perdana Menteri enggan, Agong boleh pecat Perdana Menteri sebab menghalang proses Perlembagaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN