Gesa pengeluaran CPF rakyat Malaysia - Utusan Malaysia

Gesa pengeluaran CPF rakyat Malaysia

Sheikh Omar Ali
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan digesa untuk berbincang dengan Singapura dalam merintis rancangan pengeluaran Tabung Simpanan Pekerja (CPF) rakyat Malaysia yang bekerja di negara itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Sheikh Omar Ali berkata, pertimbangan perlu dilakukan agar tabungan rakyat Malaysia yang berkerja di negara itu dapat dikeluarkan mengikut kadar bersesuaian. 

Beliau juga mencadangkan agar ia dapat dilaksanakan untuk tempoh setahun atau sepanjang 2021.

“Dengan ini, kemampuan pendapatan rakyat Malaysia yang berkerja di Singapura sekurang-kurangnya dapat bertahan untuk tahun depan di saat berhadapan pandemik Covid-19 ini.

“Sekurang-kurangnya untuk tempoh satu tahun yang mendatang, kerajaan perlu mengambil langkah lebih berani demi survival ekonomi rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Sheikh Omar, kadar pengangguran di negeri ini dianggarkan berjumlah lebih 173,000  dan angka itu dijangka meningkat pada tahun depan.

Malah ujarnya lagi, pakar ekonomi Singapura meramalkan 45,000 hingga 200,000 orang bakal menghadapi nasib pemberhentian kerja di negara itu apabila sektor perniagaan mengecilkan operasi. 

“Keadaan ini memberi isyarat kepada ribuan rakyat Malaysia yang berkerja di Singapura khususnya dalam kalangan rakyat Johor yang berkemungkinan besar akan diberhentikan terlebih dahulu. 

“Untuk rekod, sekitar 400,000 warga kita berada di Singapura untuk berkerja di sana. Daripada jumlah tersebut, sekitar 300,000 berulang alik secara harian Johor Bahru ke Singapura,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar lebih banyak pusat sehenti kerjaya dapat diwujudkan kerajaan negeri dan agensi berkaitan untuk membantu gerak kerja suai-padan bagi golongan rakyat kehilangan pekerjaan.

“Pusat sehenti ini boleh berfungsi dengan menawarkan khidmat kaunseling atau motivasi bagi mereka yang kehilangan kerja.

“Selain itu, ia boleh bertindak menjadi pusat pangkalan data untuk mendapatkan input serta mengenal pasti kebolehan dimiliki individu kehilangan kerja dan juga mengumpulkan data syarikat atau entiti perniagaan,” ujarnya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.