DUN Usukan ‘anak sulung’ UMNO Sabah - Utusan Malaysia

DUN Usukan ‘anak sulung’ UMNO Sabah

Salleh Said Keruak
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Salleh Said Keruak menyifatkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Usukan bukan asing buatnya yang sudah dua kali dimenanginya sebelum ini.

Malah, kata bekas menteri Pusat itu, pencalonannya di Usukan juga mempunyai nilai sentimental buatnya kerana Usukan ibarat ‘anak sulung’ UMNO yang lahir di Sabah.

“Pada 11 Mei 1991, satu Pilihan Raya Kecil (PRK) di DUN Usukan terpaksa diadakan ekoran keputusan Tun Datu Mustapha Datu Harun menyertai UMNO menyebabkan kerusi itu kosong.

“Datu Mustapha memenangi kerusi berkenaan menjadikan DUN Usukan muncul sebagai anak sulung UMNO Sabah dan selepas itulah pengaruh UMNO semakin berkembang, termasuk menjadi tulang belakang BN menerajui tampuk pemerintahan Sabah selepas PRN Sabah pada Februari 1994.

“Lagipun, DUN Usukan saya menangi dalam pilihan raya negeri 1994 dan pilihan raya umum 1999. Untuk PRN kali ini, saya akan bekerjasama rapat dengan UMNO Bahagian Kota Belud yang diketuai Fadli Juanas dan Bersatu (penyandang kerusi, Datuk Japlin Akim),” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Pada 1987, Salleh diberi peluang bertanding atas tiket Parti Bersatu Sabah di DUN Usukan pada 1987 tetapi beliau ditewaskan oleh Datu Mustapha.Bagaimanapun, pada tahun 1990, beliau dilantik sebagai Pengerusi PBS Bahagian Usukan, tetapi setahun kemudiannya, beliau keluar daripada parti itu untuk menyertai UMNO dan menjadi Ketua UMNO Bahagian Kota Belud.

Salleh berjaya memenangi kerusi DUN Usukan pada Pilihan Raya Negeri Sabah 1994. Tahun itu juga Salleh dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah dari 1 Januari 1995 hingga 28 November 1996. Selepas itu beliau diganti oleh Presiden SAPP, Yong Teck Lee kerana jawatan itu telah digilir-gilirkan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad bagi menyelesaikan pergolakan politik Sabah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN