Curi kereta ketika pemandu isi minyak di Temerloh, suspek ditahan di Subang Jaya - Utusan Malaysia

Curi kereta ketika pemandu isi minyak di Temerloh, suspek ditahan di Subang Jaya

TANGKAP layar daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan mangsa terjatuh ketika mengejar keretanya yang dilarikan di Stesen Minyak di Semantan semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Tidak sampai 12 jam melarikan sebuah kereta ketika pemandu sedang mengisi minyak di sebuah stesen minyak di sini, seorang lelaki akhirnya berjaya ditahan pihak polis semalam. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.55 pagi semalam, suspek memasuki kereta mangsa yang tidak dimatikan enjin ketika pemandu kereta jenis Toyota Corolla itu mengisi minyak di Stesen Minyak Petron Semantan di sini.

Berdasarkan rakaman video yang tular dalam media sosial suspek telah memecut kereta berkenaan sehingga menyebabkan mangsa yang cuba mengejar kereta itu terjatuh.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohd. Yusri Othman berkata, polis berjaya mengenal pasti suspek berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di stesen minyak berkenaan.

“Tindakan pantas polis telah berjaya menangkap suspek di Subang Jaya, Selangor kira-kira pukul 1 petang dan suspek yang mempunyai beberapa rekod jenayah dan dadah lampau telah dibawa ke Ibu Pejabat polis daerah (IPD) Temerloh untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.

Menurut Mohd. Yusri, suspek disiasat mengikut Seksyen 379 A Kanun Keseksaan dan berdasarkan siasatan suspek datang ke stesen minyak berkenaan menaiki sebuah kenderaan jenis Toyota Avanza yang diletakkan di tempat letak kereta stesen minyak berkenaan.

Katanya, polis telah membawa kereta Toyota Avanza ke IPD dan sedang menyemak pemilik kenderaan berkenaan yang sehingga kini tiada laporan kecurian kenderaan itu. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya