fbpx

24 September 2020, 5:27 pm

Cubaan seludup sarang walit gagal

SARANG burung walit yang dirampas Maqis Johor ketika menjalankan pemeriksaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Johor berjaya mengagalkan cubaan menyeludup sarang burung walit seberat 11 kilogram (KG) yang bernilai RM4,000.

Pengarahnya, Nur Afifah A.Rahman berkata, sarang burung walit dari Indonesia itu cuba dibawa masuk oleh lelaki warga tempatan ketika pemeriksaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, semalam. 

Katanya, perkara itu terbongkar melalui penemuan dua kotak susulan pemeriksaan dibuat pihaknya dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Pejabat Pos DHL Express Senai kira-kira pukul 12 tengah hari. 

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati bahawa dagangan berkenaan tidak mempunyai sebarang dokumen seperti permit import yang sah yang dikeluarkan oleh Maqis dan sijil kesihatan dari negara asal. 

“Sarang tersebut dirampas dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kerana mengimport keluaran pertanian tanpa permit, lesen atau perakuan yang dikeluarkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Nur Afifah berkata, pihaknya juga telah mengambil keterangan lelaki berusia 40-an yang membeli barang dagangan tersebut dan mendapati ia dibawa masuk untuk kegunaan sendiri. 

Jelasnya, Maqis sentiasa komited menjalankan penguatkuasaan undang-undang di kesemua pintu masuk negara. 

“Penguatkuasaan akan dipertingkatkan bagi memastikan kawalan penyakit ikan, haiwan, tumbuhan dan jaminan Keselamatan makanan terpelihara,” ujarnya. -UTUSAN