CAP bimbang masalah hakisan pantai di Melaka semakin serius  - Utusan Malaysia

CAP bimbang masalah hakisan pantai di Melaka semakin serius 

KEADAAN hakisan di Pantai Puteri, Tanjung Keling dan Tanjung Dahan, Kuala Linggi, Melaka yang didakwa semakin serius dan perlu ditangani segera.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kerajaan Negeri Melaka menjalankan siasatan dan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah hakisan pantai yang didakwa semakin serius di negeri itu.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, kejadian itu bukan sahaja mengancam alam semula jadi di kawasan terbabit malah turut menjejaskan aktiviti harian nelayan.

Menurut beliau, tinjauan pihaknya mendapati kira-kira 500 meter kawasan Pantai Puteri, Tanjung Keling telah terhakis manakala di Tanjung Dahan dekat Kuala Linggi pula, 300 meter kawasan pantai itu turut menghadapi masalah sama.

Ujar beliau, berpuluh-puluh batang pokok di pesisiran pantai juga didapati tumbang dan beberapa bangsal nelayan mengalami kerosakan diancam masalah hakisan pantai. 

“CAP bimbang kerana kejadian yang berlaku di kedua-dua kawasan berkenaan semakin hari semakin hampir dengan jalan dan rumah penduduk, maka tindakan segera perlu diambil untuk menghentikannya,” ujarnya kepada pemberita di sini semalam.

Ujar beliau, keadaan yang berlaku sejak enam bulan lalu itu menimbulkan keresahan dalam kalangan 200 nelayan terbabit kerana ranting pokok yang tumbang dan sisa kayu yang hanyut ke laut kerap tersangkut pada pukat mereka.

Tambabnya, nelayan di situ juga sukar melabuhkan perahu kerana kawasan pantai yang terhakis telah runtuh dan menjadi curam. 

“Akibatnya, mereka terpaksa menolak atau menarik bot dengan menggunakan takal setiap kali pulang dari laut,” katanya.

Tegas beliau, CAP percaya jika masalah itu terus dibiarkan, kesan yang lebih buruk akan berlaku pada masa akan datang yang mana hakisan pantai boleh merebak dengan meluas dan kemusnahan alam sekitar serta jumlah kerosakan harta benda pasti akan bertambah.

“Justeru, CAP berharap kerajaan Melaka, jabatan dan agensi berkaitan menjalankan kajian apakah punca masalah ini berlaku.

“Fokus utama perlu diberikan kepada aktiviti penambakan laut dan laluan kapal-kapal dagang yang mungkin menjadi penyebab berlakunya masalah hakisan di negeri ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.