Calon tarik diri hangus wang deposit - Utusan Malaysia

Calon tarik diri hangus wang deposit

ABDUL GHANI SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Calon yang tiba-tiba menarik diri daripada persaingan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 dingatkan mereka akan hilang wang deposit RM5,000 bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, sekiranya ada kalangan calon yang `diam-diam’ berbuat demikian pun, nama mereka tetap tercetak di kertas undi.

“Kalau nak tarik diri, sepatutnya antara pukul 9 pagi hingga 10 pagi waktu penamaan calon semalam (kelmarin). Jika buat sekarang, maknanya wang deposit itu `hangus’.

“Lagipun pagi ini (semalam), SPR sudah cetak nama kesemua calon atas kertas undi pos dan sebelum pukul 12 tengah hari ini (semalam) akan dihantar ke lokasi masing-masing,” katanya ketika dihubungi di sini.

Sejumlah RM3.576 juta deposit dibayar oleh 447 calon yang bertanding di 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRN Sabah 26 September ini.

Jumlah deposit itu berdasarkan kepada syarat ditetapkan undang-undang pilihan raya yang bertanding kerusi DUN iaitu RM5,000 sebagai deposit pilihan raya dan RM3,000 lagi untuk deposit bahan kempen.

Deposit pilihan raya boleh dituntut selepas keputusan pilihan raya diisytiharkan oleh Pegawai Pengurus jika calon memperoleh lebih 1/8 daripada jumlah undi diterima oleh calon-calon yang bertanding.

Deposit bahan kempen pula boleh dituntut selepas semua bahan kempen dibersihkan oleh calon terbabit dan disahkan oleh pihak berkuasa tempatan yang berkenaan.

Mengenai jumlah penyertaan calon dalam PRN kali ini, Abdul Ghani berkata, seingatnya semasa beliau menjadi Setiausaha SPR, terdapat satu pilihan raya kecil (PRK) di Kedah kira-kira lima tahun lalu yang mencatat saingan 15 penjuru.

Di DUN Bengkoka, Kudat yang diumumkan SPR kelmarin menyaksikan pertembungan sehingga 11 penjuru.

“Jumlah penyertaan 447 calon PRN Sabah kali ini mencatat rekod lonjakan 100 peratus berbanding lebih 200 calon semasa pilihan raya umum ke-14 di negeri ini,” katanya.

Ditanya penglibatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam PRN Sabah, katanya, SPRM telah membuka empat bilik gerakan dalam memantau kempen 14 hari berlangsung.

“SPR juga meminta kerjasama polis dan pihak kementerian kesihatan untuk memantau penjagaan dan kawalan Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19. Kita tak mahu pula nanti muncul `kluster kempen’,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN