Bagi menang dulu baru fikir calon Ketua Menteri kemudian - Utusan Malaysia

Bagi menang dulu baru fikir calon Ketua Menteri kemudian

HAJIJI NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Semua rakan parti dalam Gabungan Rakyat Sabah perlu memastikan dahulu kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 26 September ini sebelum memikirkan soal calon Ketua Menteri.

Menarik perhatian itu kepada Utusan Malaysia, Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri, Datuk Seri Hajiji Noor mengingatkan, perjuangan mengharungi kempen pilihan raya masih panjang dan hanya kerja keras jentera Perikatan Nasional (PN) bersama sekutunya, Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) berupaya menubuhkan kerajaan daripada mandat rakyat Sabah.

“Ya, lupakan dulu (siapa calon ketua menteri). Yang penting menang dulu.

“Panjang lagi tempoh berkempen. Politik di Sabah sangat berwarna-warni. Unik dan macam-macam berlaku, tapi saya yakin dapat tubuhkan kerajaan bersama rakan-rakan parti.

“(Malah) hubungan PN dengan BN dan lain-lain parti kita anggap baik setakat ini. Memanglah dalam beberapa isu ada yang perlu diperhalusi. Belum lagi dapat persetujuan yang jitu.

“Saya yakin dengan kebijaksanaan para pemimpin, ia boleh diselesaikan.

“Tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan. Yang penting perlu bertolak ansur, terima dengan hati yang terbuka demi kepentingan rakyat dan negeri. Paling utama sekarang ialah kerjasama untuk tubuhkan kerajaan,” katanya.

Beliau ditemui di Ibu Pejabat Bersatu Sabah di Alamesra dekat sini semalam.

Sabtu lalu, kesepakatan dalam kalangan parti Gabungan Rakyat Sabah terutamanya BN `teruji’ apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi bayangan kemungkinan Hajiji dilantik sebagai Ketua Menteri jika gabungan PN dan rakannya menang PRN.

Perdana Menteri memberi bayangan itu ketika berucap di Pejabat Bersatu Tuaran untuk memberi semangat kepada Hajiji sebelum mengemukakan pencalonan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman di Dewan Seri Sulaman.

Berbanding gabungan Warisan Plus, cabaran Gabungan Rakyat Sabah dipercayai lebih getir untuk memastikan kemenangan berikutan terdapat pertembungan sesama sendiri di 17 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Sedangkan di pihak Warisan Plus terdiri daripada Warisan, PKR, DAP, Amanah dan UPKO tidak pula membabitkan pertindihan kerusi apabila PKR terpaksa akur dengan peruntukan tujuh daripada 14 kerusi yang dimintanya.

PN dianggotai Bersatu, Pas, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP).

BN pula terdiri daripada UMNO Sabah, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Pemerhati melihat pertembungan sesama sendiri calon-calon Gabungan Rakyat Sabah hanya mengakibatkan pecahan undi yang menguntungkan Warisan Plus.

17 kerusi yang menyaksikan pertembungan sesama calon BN, Perikatan Nasional dan Parti Bersatu Sabah (PBS) adalah N02 Bengkoka (UMNO lawan PBS); N05 Matunggong (PBRS lawan PBS); N07 Tandek (PBRS lawan PBS); N11 Kadamaian (PBRS lawan PBS); N22 Tanjung Aru (UMNO lawan PBS); N25 Kapayan (MCA lawan PBS), N26 Moyog (STAR lawan PBS) dan N34 Lumadan (UMNO lawan PBS).

Sembilan kerusi lagi ialah N38 Paginatan (UMNO lawan STAR lawan PBS); N39 Tambunan (STAR lawan PBS); N40 Bingkor (STAR lawan PBS); N41 Liawan (STAR lawan PBS); N42 Melalap (UMNO lawan PBS); N44 Tulid (STAR lawn PBRS lawan PBS); N45 Sook (STAR lawan PBRS); N47 Telupid (UMNO lawan PBS) dan N54 Karamunting (MCA lawan PBS). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN