KUALA LUMPUR: Jangan terkejut jika gambar anda yang sedang hamil berada dalam laman web lucah atau tersebar di mana-mana saluran media sosial.
Ia sebagai ‘modal’ fantasi seks lelaki ‘hidung belang’ yang mempunyai penyakit mental dikenali maiesiophilia.
Maiesiophilia merupakan kelainan seksual dalam kalangan individu berpenyakit ini yang ghairah melihat ibu hamil kerana dianggap seksi walaupun berpakaian sopan.
Jika sebelum ini masyarakat gempar dengan kes pedofilia yang menyasarkan kanak-kanak sebagai simbol seksual penjenayah, kes maiesiophilia juga tidak boleh diambil ringan.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, walaupun Polis Diraja Malaysia (PDRM) belum menerima laporan daripada individu yang menjadi mangsa kes tersebut yang boleh mendorong kepada kegiatan jenayah, namun orang ramai perlu berhati-hati dalam berkongsi gambar di media sosial.
Menurutnya, hal ini perlu diambil serius terutama ibu-ibu yang sedang hamil memuat naik pelbagai sudut gambar menampakkan perut walaupun hanya bertujuan simpanan atau kenangan.
“Kami akan jalankan siasatan sekiranya ada laporan atau dimaklumkan oleh mana-mana pihak untuk mengenal pasti sekiranya ada kesalahan jenayah berlaku.
“Oleh itu, orang ramai perlu bijak berkongsi sebarang maklumat atau gambar di mana-mana platform media sosial. Jangan bagi ruang sehingga orang boleh manipulasi gambar-gambar tersebut yang dikhuatiri boleh terjerumus menjadi mangsa jenayah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.
Baru-baru ini tular gambar ibu hamil yang didedahkan melalui laman media sosial sebagai ‘modal’ segelintir lelaki memuaskan nafsu mereka secara maya.
Hanya dengan sekeping gambar wanita hamil mampu mengundang pelbagai reaksi dan fantasi seks golongan berpenyakit berkenaan.
Gambar tersebut kemudian ditularkan dalam kalangan mereka melalui saluran khas atau kumpulan di media sosial lalu mengundang komen-komen serta reaksi berbaur lucah. – UTUSAN










