Anwar jangan cakap sahaja! -Eddin Syazlee - Utusan Malaysia

Anwar jangan cakap sahaja! -Eddin Syazlee

EDDIN Syazlee Shith (tiga, dari kiri) bersama pimpinan Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F (Perkobf) Cawangan Negeri Sembilan selepas merasmikan Mesyuarat Agung Kali Ke-7 persatuan tersebut di Seremban hari ini.-UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu membuktikan bahawa majoriti yang dimilikinya untuk membentuk kerajaan baharu adalah benar dan bukan hanya cakap kosong.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Eddin Syazlee Shith berkata, Anwar tidak boleh hanya sekadar membuat dakwaan sebaliknya perlu membuktikan kepada rakyat.

“Cukup macam mana (majoriti yang dimiliki Anwar) melainkan dibuktikan. Dakwaan sesiapa pun boleh buat dakwaan tetapi asas kepada dakwaan itu perlu disokong dengan bukti, jangan cakap sahaja,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F (Perkobf) Cawangan Negeri Sembilan Kali Ke- 7, Tahun 2020 di sini hari ini.

Kelmarin, Anwar mendakwa mempunyai majoriti kukuh dan meyakinkan, iaitu hampir dua pertiga kerusi Parlimen bagi membentuk kerajaan.

Sokongan itu, menurut Ahli Parlimen Port Dickson itu, adalah daripada ahli Parlimen pelbagai parti termasuk yang berpihak kepada kerajaan sedia ada, namun, beliau enggan mendedahkan jumlah mereka yang menyokongnya.

Sementara itu, Eddin Syazlee yang juga Ahli Parlimen Kuala Pilah menjelaskan, kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah cukup baik untuk rakyat.

“Saya tak fikir dalam keadaan pandemik Covid-19 ketika ini rakyat mahu ubah kerajaan. Kita lihat sahaja kesan di Sabah (Pilihan Raya Negeri Sabah), macam-macam perkara berlaku,” katanya.

Ketika ditanya, jika ada ahli Parlimen Bersatu yang berpaling tadah dan menyokong Anwar, beliau berpandangan, jika perkara itu berlaku ia terpulang kepada pendirian masing-masing.

“Kalau ada saya tidak boleh cakap apa-apa, pendapat saya kalau ada pelik pula. Pelik, sebab apa yang ada sekarang sudah cukup baik (kerajaan),” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya