15 peruncit, tiga syarikat e-dagang terlibat KBBM - Utusan Malaysia

15 peruncit, tiga syarikat e-dagang terlibat KBBM

ALEXANDER NANTA LINGGI (kanan) melawat gerai-gerai usahawan selepas merasmikan Karnival Bumi Kenyalang dan Kempen Beli Barangan Malaysia di Nilai dekat sini hari ini.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebanyak 15 peruncit dan tiga syarikat e-dagang telah mengambil bahagian dalam Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) sejak ia dilancarkan Julai lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, walau bagaimanapun, beliau amat mengalu-alukan lebih banyak syarikat peruncitan dapat mengambil bahagian dalam kempen tersebut.

Ujarnya, ia bagi menyokong usaha kerajaan dalam membantu menyemarakkan semula sektor peruncitan yang terjejas ekoran pandemik Covid-19.

“Kami berterima kasih kepada peniaga besar seperti Aeon, Mydin, Lulu Hypermarket dan lain-lain yang mengambil bahagian. Kami amat mengalu-alukan syarikat besar membantu pihak kementerian dan berharap usaha ini diteruskan lagi pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Bumi Kenyalang (KBK) sempena Kempen Beli Barangan Malaysia di Nilai dekat sini hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Hasnol Zam Zam, Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Iskandar Sarudin serta Pengerusi AEON CO.(M) Bhd., Shafie Shamsuddin.

Dalam pada itu, katanya, inisiatif KBBM telah membantu usahawan kecil dan sederhana dengan penembusan serta penyenaraian sebanyak 31,009 ‘stock-keeping unit'(SKU) produk dan barangan mereka bagi tahun 2019. 

“Manakala, jualan bagi 2019 adalah sebanyak RM667 juta. Jumlah ini adalah peningkatan hampir 75 peratus berbanding tahun 2015 yang hanya mencatat sebanyak 17,771 SKU dan nilai jualan sebanyak RM164 juta,” katanya.

Sementara itu, ujarnya, Karnival Bumi Kenyalang yang berlangsung selama dua minggu sejak 14 September lalu membabitkan 26 usahawan dari Sarawak dan telah merekodkan jualan mencecah RM180,000 bagi tempoh lima hari.

“Program tersebut mensasarkan jualan sebanyak RM350,000. Saya berharap program ini akan diteruskan dan dipanjangkan kepada negeri-negeri lain bagi membantu lebih banyak usahawan kecil dan sederhana di negara kita,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya