10,000 polis buat ‘perangai' terlibat pelbagai kes jenayah - Utusan Malaysia

10,000 polis buat ‘perangai’ terlibat pelbagai kes jenayah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman mendedahkan hampir 10,000 pegawai dan anggota polis terlibat dengan pelbagai kesalahan dalam tempoh enam tahun ini.

Jumlah tersebut merupakan kira-kira 7.3 peratus daripada keseluruhan pasukan polis, melibatkan 743 pegawai kanan dan 8,663 anggota berpangkat rendah.

Antara kesalahan yang mereka lakukan adalah jenayah, rasuah, dadah, salah laku dan syariah.

Jumlah ini membuktikan kebimbangan disuarakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador baru-baru ini yang mendedahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini berdepan dengan ancaman dadah dan rasuah dalam kalangan anggotanya.

Beliau turut menyifatkan pembabitan anggota polis dalam rasuah, salah guna kuasa dan dadah seperti api dalam sekam.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah JIPS Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya memaklumkan, sebanyak 335 pegawai dan anggota polis yang dikesan terlibat dengan kesalahan dadah dari tahun 2015 sehingga tahun ini.

Bagaimanapun, menurutnya, seramai 11 pegawai kanan yang didapati terlibat dan selebihnya adalah anggota berpangkat rendah.

“Kita juga mengenal pasti sebanyak 22 pegawai dan 87 anggota polis terlibat dalam kesalahan rasuah.

“Yang lebih membimbangkan, seramai 6,851 pegawai dan anggota dikesan melakukan kesalahan salah laku dan 281 didapati melanggar peraturan syariah dalam tempoh enam tahun ini,” katanya.

Dalam pada itu, Zamri menjelaskan, antara kesalahan salah laku dikesan adalah seperti gagal hadir tugas, mengunjungi premis hiburan dan melanggar prosedur sebagai pegawai dan anggota polis.

Jelas beliau, pihaknya sentiasa mengambil serius terhadap pegawai dan anggota polis yang terlibat dengan mana-mana kesalahan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka.

“Siasatan menyeluruh akan dilakukan JIPS sebelum mengambil tindakan gantung tugas dan seterusnya dibuang kerja jika didapati bersalah atau disabitkan hukuman oleh mahkamah,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN