Tiga pegawai MBSA, peniaga Aceh ditahan SPRM - Utusan Malaysia

Tiga pegawai MBSA, peniaga Aceh ditahan SPRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiga penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini kerana dipercayai mengutip dan menerima rasuah secara bulanan bagi melindungi premis-premis perniagaan yang menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen di sekitar Sungai Buluh dekat sini.

Tangkapan kira-kira pukul 9 pagi itu melibatkan dua pegawai yang bertugas di cawangan Sungai Buloh manakala seorang lagi dari Shah Alam.

Mereka ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya selepas dipanggil memberi keterangan.

Turut ditahan peniaga rokok seludup berbangsa Aceh seperti yang didedahkan dalam video tersebut kerana tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

Menurut sumber, peniaga berkenaan beroperasi sejak tahun lalu dan dikatakan membayar wang rasuah sebanyak RM300 sebulan kepada penguat kuasa bagi mengelak sebarang tindakan.

Katanya, ketiga-tiga penguat kuasa berusia 41 hingga 49 tahun itu ditahan selepas dipercayai menerima rasuah antara RM300 hingga RM3,500 sebulan bagi sebuah premis perniagaan termasuk.

“Ini termasuk premis-premis yang menjalankan perniagaan kedai makan tanpa lesen, penjualan rokok, gerai-gerai yang menjalankan perniagaan di tempat-tempat yang tidak dibenarkan dan premis perjudian.

“Ada juga berperanan sebagai pengkhianat dengan membocorkan maklumat berhubung operasi-operasi yang akan dilaksanakan menyebabkan setiap operasi dijalankan gagal dan iketahui awal oleh peniaga-peniaga haram ini,” katannya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan tidak menolak ia kutipan rasuah secara bersindiket di kalangan anggota penguat kuasa.

Ahmad Khusairi menggesa mana-mana pihak yang mempunyai maklumat lanjut berhubung aktiviti rasuah dalam kalangan penguat kuasa untuk tampil memberikan kerjasama yang mana identiti dan maklumat pemberi maklumat dilindungi sepenuhnya.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009. Kesemua yang ditahan akan dihadapkan ke Mahkamah bagi permohonan reman dibawah seksyen 117 Kanun Acara Jenayah,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya