Seludup di pelabuhan utama serius - Utusan Malaysia

Seludup di pelabuhan utama serius

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selama ini ramai beranggapan lorong tikus adalah pintu utama segala jenayah penyeludupan.

Kes penyeludupan manusia, ketum, arak, rokok dan lain-lain barang tidak sah semuanya dikaitkan dengan lorong tikus.

Namun realitinya, pintu utama kemasukan barang terlarang seperti rokok dan arak, 60 peratus berlaku di pelabuhan di seluruh negara.

Antara pelabuhan panas dikaitkan dengan penyeludupan adalah di Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Sarawak.

Ini kerana penyeludupan menerusi pelabuhan lebih mudah, cepat dan boleh dibuat dalam kuantiti banyak berbanding menyeludup menerusi lorong tikus.

Kata sumber, pernah berlaku insiden lima kontena berisi barangan seludup bernilai RM25 juta bolos dari sebuah pelabuhan negara.

Barang tersebut, terlepas begitu sahaja walaupun melalui pemeriksaan ketat.

Dalam pada itu, sumber mendedahkan, rokok dan arak yang dibawa masuk ke negara ini kononnya sebagai ‘transit’ sebelum dibawa ke negara jiran menggunakan jalan darat tetapi sebenarnya untuk pasaran tempatan.

Kata sumber, selama ini lorong tikus dijadikan kambing hitam oleh sindiket penyeludupan besar yang berlaku di pelabuhan.

Jelasnya, apa yang menjadi persoalan, bagaimana barangan seludup itu boleh melepasi pintu keluar yang mempunyai mesin pengimbas canggih serta dikawal ketat penguat kuasa.

Tambahnya, ada juga pihak pernah diugut dan dikepung bagi melepaskan barang seludup tersebut.

Kata sumber itu, kegiatan itu dipercayai didalangi rangkaian sindiket yang didakwa mampu mengaut keuntungan hingga mencecah bilion ringgit sehinggakan membuka perniagaan lain secara sah hasil duit haram.

“Sindiket akan menyasarkan satu jumlah keuntungan. Selepas mencapai keuntungan tersebut, dalang sindiket akan membuka perniagaan lain seperti hartanah, pertanian dan sebagainya.

Kegiatan tersebut akan diserahkan kepada orang bawahan dan berlarutan sehingga orang bawahan lain yang bekerja dengan sindiket ini,” katanya.

Sumber berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan jenayah membabitkan kerugian besar ini melibatkan orang kenamaan (VIP) bergelar Datuk dan mungkin juga orang politik.

Jelasnya, golongan tersebut dipercayai menggunakan pengaruh mereka untuk melindungi sindiket haram berkenaan. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN