JOHOR BAHRU: Tertarik paras rupa seperti artis Bollywood dan ayat-ayat manis antara punca wanita tempatan mudah terpikat dengan lelaki warga asing sekali gus membawa mereka ke jenjang pelamin.
Pakar Sosial, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, wanita tempatan mudah cair setelah dilayan dengan kata-kata manis apatah lagi lelaki warga asing dari Pakistan dan Bangladesh yang memiliki paras rupa kacak.
Namun beliau tidak menafikan lelaki tempatan mempunyai ciri-ciri tersebut, sebaliknya warga asing dilihat lebih maju ke hadapan dalam memikat golongan wanita.
“Adik ini sangat comel, adik ini sangat manis merupakan antara ayat-ayat popular yang sering digunakan.
“Namun saya tidak katakan faktor ini secara menyeluruh kerana ada sebab lain mereka mudah tertarik,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Dalam pada itu, Mohammad Shatar yang juga Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menasihatkan masyarakat melihat aspek perkahwinan untuk tempoh jangka panjang dan bukannya dalam masa singkat.
“Dua perkara asas dalam perkahwinan adalah keharmonian dan mendapat zuriat. Bagi membolehkan ia berlaku, kedua-dua pasangan perlu mempunyai kefahaman yang sama termasuk dari segi adat dan budaya.
“Jika ada pertentangan, maka akan cetuslah perbezaan sekali gus membawa kepada keruntuhan rumah tangga,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Noor Aziah Mohd. Awal berkata, dakwaan berlaku eksploitasi terhadap wanita dengan mereka dipikat berkahwin warga asing bagi membolehkan suami mendapat lesen perniagaan perlu dibuktikan.
“‘Marriage for convenience’ iaitu bukan kahwin atas dasar cinta kasih sayang tetapi dengan bayaran tertentu bertentangan dengan tujuan perkahwinan itu sendiri.
“Ini isu soal hati dan jika pasangan sememangnya berkahwin atas dasar cinta dan kemudiannya berniaga dan menjadi kaya raya, itu bagi saya tidak boleh dijadikan alasan untuk menutup premis perniagaan mereka atau menamatkan lesen kerana jodoh pertemuan itu hak Allah,” katanya.
Bagaimanapun, wanita di Malaysia perlu mengetahui dan memahami hak mereka dalam undang-undang kerana terdapat beberapa kes suami meminjam wang hilang dan akhirnya isteri terbeban dengan hutang tersebut. – UTUSAN










