`Macam mana kami nak jual padi' - Utusan Malaysia

`Macam mana kami nak jual padi’

Ismail Sawai menunjukkan padinya yang sudah masak di Kampung Sungai Padang, Sanglang, Perlis.-UTUSAN/ MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Para pesawah dari Kuala Sanglang dan Simpang Empat di sini runsing berikutan kilang beras yang terletak di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (Temco) itu, masih tidak dibenarkan beroperasi, sekali gus tidak dapat membeli hasil tuaian mereka.

Seorang pesawah dari Sungai Padang, Kuala Sanglang, Ismail Sawai, 67, berkata, dalam tempoh dua atau tiga hari lagi tanaman padi yang diusahakan di kawasan seluas hampir sembilan hektar itu sudah boleh dituai.

Katanya, lazimnya pada setiap musim dia menjual lebih 300 tan padi di salah sebuah kilang milik Dibuk Sdn. Bhd di Kuala Sanglang.

“Saya bimbang dan buntu apabila kilang beras tersebut (Banli Ricemill) masih tidak dibenarkan beroperasi di mana para pesawah dari kawasan ini hendak jual hasil padi yang dituai itu. Kalau dibiarkan terlalu lama, padi akan rosak.

“Jika hasil padi tidak terjual, saya berdepan risiko kerugian lebih RM80,000. Saya berharap kilang tersebut diberi kelonggaran untuk beroperasi lebih awal iaitu sebelum tarikh Temco berakhir pada 31 Ogos depan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, dianggarkan 3,000 sehingga 4,000 pesawah dari Kuala Sanglang dan Simpang Empat di sini resah berikutan kilang beras mungkin tidak dapat membeli hasil tuaian mereka kerana terletak di kawasan Temco.

Kira-kira 7,000 tan metrik hasil padi akan diproses di salah sebuah kilang milik Dibuk di Kuala Sanglang dengan hasil di kawasan tersebut sudah boleh dituai ketika ini.

Seorang lagi pesawah dari Sungai Baru, Hassan Pin, 54, turut berharap agar pihak berkuasa memberi kelonggaran agar kilang tersebut dibenarkan operasi awal.

“Kebanyakan pesawah di sini menjual hasil kepada Dibuk yang memberi banyak potongan dan keistimewaan lain. Jika tidak beroperasi terpaksalah kami jual hasil di kilang lain yang terletak di luar kawasan. Saya rasa, urusan pengambilan padi ini tidak melibatkan ramai orang yang boleh mengundang penularan Covid-19,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Dibuk, Marzukhi Othman, 62, berkata, dia sudah memohon dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perlis sebelum ini, namun permintaannya agar kilang tersebut diberi kelonggaran beroperasi tidak diluluskan.

“Kami juga perkhidmatan perlu dan diharap MKN dapat beri kelonggaran. Padi sudah banyak masak di kawasan tersebut dan boleh dituai. Bagaimana para pesawah hendak menjual hasil mereka kalau kilang masih tidak dibenarkan operasi.

“Lagipun, ujian saringan Covid-19 terhadap semua penduduk dari Kuala Sanglang dan Tanah Timbul sudah disahkan negatif. Sekali lagi saya berharap pihak berkaitan dapat memberi kelonggaran ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×