Koperal mengaku tak bersalah rasuah - Utusan Malaysia

Koperal mengaku tak bersalah rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang anggota polis berpangkat koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menerima rasuah daripada sebuah premis khidmat urut pada 2016 dan 2017.

Tertuduh, Mohd. Yusri Borhan, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki tersebut didakwa meminta suapan RM2,000 secara bulanan daripada seorang wanita sebagai dorongan untuk menyalurkan maklumat kepada premis itu, jika ada serbuan daripada polis. 

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Balai Polis Sentral, Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan pada pukul 7 petang, 16 Disember 2016.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh menerima rasuah RM1,500 daripada wanita sama sebagai dorongan untuk menyalurkan maklumat jika ada serbuan polis di Jalan Meldrum di sini pada pukul 2.40 petang, 9 Januari 2017.

Pendakwaan ke atas kedua-dua pertuduhan itu masing-masing dikemukakan mengikut Seksyen 16(a) B dan Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) Akta sama.

Jika didapati bersalah, tertuduh boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau mengikut mana mana lebih tinggi.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM14,000 dengan seorang penjamin dan 14 September ini ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Yunus Mohamed manakala tertuduh diwakili peguam Mohd. Fazaly Ali. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya