fbpx

25 Jun 2021, 2:58 pm

  TERKINI

KASA cadang penternakan babi dihenti operasi sementara

DR. Mohd. Zuhdi Marzuki (kiri) meninjau keadaan air berwarna hitam di sebatang parit yang mengalir ke Sungai Kreh, Kampung Tok Bedu, Tasek Gelugor, Pulau Pinang. - UTUSAN/AMIR IRSYAD OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TASEK GELUGOR: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) mencadangkan operasi penternakan ladang babi di Kampung Selamat, Tasek Gelugor di sini yang menyebabkan pencemaran Sungai Kereh dihentikan sementara sehingga penternak akur untuk melaksanakan sistem penternakan pelepasan sifar.

Setiausaha Politik kepada Menteri Alam Sekitar dan Air, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki berkata, perkara berkenaan bagaimanapun hanya dapat dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai agensi di bawah kementerian berkaitan.

Menurut beliau, kaedah terbaik dan segera dalam menangani isu itu ketika ini adalah penternakan babi tersebut perlu dihentikan sehingga pengusaha memberi komitmen untuk melakukan sistem pelepas sifar dan tidak membuang najis secara terus ke dalam sungai.

“Menteri (Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man) akan menulis memo merentasi kementerian bagi menyampaikan cadangan untuk penternakan ini dihentikan (sementara) sehingga ada penyelesaian,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan pencemaran tersebut najis babi tersebut di Sungai Kereh, Kampung Tok Bedu, di sini hari ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan lebih1,000 penduduk di beberapa buah kampung di sini melahirkan rasa kecewa dan berputus asa untuk menjalani kehidupan selesa apabila isu pencemaran najis babi di beberapa batang sungai di kawasan berkenaan tidak pernah selesai sejak 40 tahun lalu.

Antara sungai yang didakwa mengalami masalah pencemaran yang serius termasuk Sungai Kereh, Sungai Korok, Sungai Kreh Mati, Sungai Kecil Pokok Machang, Sungai Lubuk Meriam dan Sungai Lubuk Mariam Dalam.

Mengikut laporan, terdapat sekurang-kurangnya 74 kandang yang melibatkan hampir 100,000 ekor babi diternak dan tiada sistem rawatan kumbahan yang sistematik menyebabkan kumbahan disalurkan secara langsung ke dalam Sungai Kereh.

Menurut Mohd. Zuhdi, pihaknya mengambil maklum penderitaan yang dialami penduduk dan petani akibat pencemaran tersebut sejak sekian lama.

“Kita lihat sendiri dari segi bau dan warna (air sungai) yang menjejaskan kesihatan serta pertanian di kawasan hilir walaupun terdapat usaha memindahkan kunci air untuk salurkan air bersih kepada sawah padi bagi mengatasi masalah ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE