Asisten Superintendan didakwa rasuah RM10,500 - Utusan Malaysia

Asisten Superintendan didakwa rasuah RM10,500

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

KUALA TERENGGANU: Seorang pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan menerima rasuah melibatkan jumlah keseluruhan RM10,500.

Tertuduh, Mohd. Nazli Mohamed, 38, yang berkhidmat di Jabatan Cawangan Khas, Bahagian Anti Keganasan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman. 

Mengikut pertuduhan, Mohd. Nazli didakwa menerima wang tunai sebanyak lima kali daripada Zaid Jusoh melalui akaun bank CIMB miliknya dan juga Nurul Natasha Nordin yang mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Difahamkan tertuduh melakukan perbuatan itu bagi mempercepatkan urusan membawa pulang seorang tahanan yang berada di Syria.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di daerah Besut antara 22 Mei hingga 29 Disember 2018.

Mohd. Nazli didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan bagi kelima-lima pertuduhan itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Farah Yasmin Salleh manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Hayyatuddin Muhamad. 

Mahkamah kemudian menetapkan 21 September depan untuk sebutan semula kes dan tertuduh dibenar diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin. – UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya