Akta Hasutan masih relevan jaga perpaduan - Utusan Malaysia

Akta Hasutan masih relevan jaga perpaduan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiada keperluan untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 sebaliknya hanya perlu dipinda supaya sesuai dengan situasi terkini.

Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (BN-Padang Rengas) berkata, ia masih dilihat relevan dalam konteks semasa terutama bagi menjaga perpaduan kaum dan agama di negara yang berbilang kaum seperti Malaysia.

Beliau turut mencadangkan satu jawatan kuasa khas ditubuhkan bagi melihat keperluan untuk mengukuhkan serta membaiki undang-undang itu.

“Ada pihak kata Akta Hasutan sudah lama atau ‘ancient’ sejak 1948 dan sekarang sudah 2020. Kita boleh buat pindaan supaya bersesuaian dengan keadaan sekarang.

“Keperluan kepada negara, jika kita buang terus kita akan rugi terutama apabila negara teperangkap dalam keadaan tidak baik,” katanya ketika membahaskan usul Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2020 di Dewan Rakyat hari ini.

Rang undang-undang itu dibentang untuk bacaan kali kedua bagi memohon perbelanjaan tambahan bagi perkhidmatan tahun ini berikutan penyusunan semula beberapa kementerian, penubuhan beberapa kementerian baharu dan pembubaran satu kementerian selaras dengan pembentukan Kabinet baharu pada 10 Mac lalu.

Sementara itu, dalam nada yang sama, Datuk Azizah Mohd Dun (Bersatu-Beaufort) berkata, perpaduan adalah perkara penting bagi sesebuah negara yang mempunyai rakyat berbilang kaum, agama dan pandangan.

Jelasnya, peristiwa Konfrontasi Indonesia-Malaysia dan pencerobohan Lahad Datu di Sabah perlu dijadikan iktibar.

“Kita telah melihat negara-negara yang begitu kaya pada suatu ketika dahulu kerana mereka mendengar anasir luar, mereka dipengaruhi anasir luar yang mempunyai agenda mereka sendiri menyebabkan negara itu berpecah rakyatnya.

“Negaranya hancur diserang negara luar tanpa sebab-sebab yang wajar. Hancur negara itu berkecai, rakyatnya kini berada dalam keadaan susah dan tidak merasai harmoni yang pernah dirasai sebelum ini. Kita tidak mahu perkara ini berlaku dalam negara kita,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya