Hujan lebat tidak menentu punca banjir kilat - Utusan Malaysia

Hujan lebat tidak menentu punca banjir kilat

FAIZ Izzuddin Md. Nor Khairuni (kiri) bersama adiknya, Muhammad Farish Aiman membersihkan rumah mereka di Kampung Masjid, Jalan Segambut Dalam, Kuala Lumpur. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kejadian banjir kilat yang disifatkan terburuk dalam tempoh 15 tahun melanda beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang berpunca daripada taburan hujan lebat ketika bukan pada musim hujan.

Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Nor Hisham Mohammad berkata, pihaknya mendapati berlaku peningkatan kejadian banjir sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu disebabkan trend cuaca yang tidak menentu.

Menurutnya, kejadian banjir semalam telah dijangka berlaku di kawasan-kawasan titik rendah berdasarkan maklumat meteologi yang diterima pihak bomba.

“Trend cuaca yang berubah ini merupakan cabaran buat kita semua, jadi semua pihak yang terlibat perlu sentiasa bersedia dan berhati-hati bagi menghadapi banjir ini.

“Sebanyak 14,000 anggota, 407 bot dan 611 kenderaan termasuk lori dan lima helikopter diarahkan bersiap-siaga. Kita juga telah memindahkan 265 penduduk daripada 62 keluarga di Selangor ke pusat pemindahan sementara, ” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, punca banjir kilat yang berlaku disebabkan kegagalan tiga kolam takungan menampung jumlah air susulan hujan lebat selama beberapa jam.

“Hujan lebat berpanjangan menyebabkan air lalu melimpah sehingga berlaku enam kes berkaitan banjir di jalan, satu kes banjir tapak projek, 17 kes pokok tumbang dan satu kes tanah mendap.

Sebuah kolam takungan air di Segambut Dalam turut pecah disebabkan itu. Kerja membaik pulih bahagian struktur empangan yang pecah akan dilakukan serta-merta ,” katanya.

Seorang penduduk, Rozita Ibrahim, 47, berkata, ini bukan kejadian pertama berlaku di Jalan Segambut Dalam di sini namun banjir kilat yang berlaku adalah luar biasa dalam tempoh 15 tahun ini.

Tambahnya, ketika kejadian, dia berada di rumah bersama suami dan tiga anaknya dan tiba-tiba air naik sehingga melebihi paras pinggang.

“Yang paling terkesan anak saya kerana baru menyiapkan kerja sekolah sehingga dia menangis kerana melihat bukunya basah.

“Peti ais, televisyen dan katil kami juga terapung sehingga di luar rumah. Banjir ini perkara biasa di kawasan ini tetapi tidaklah teruk seperti kejadian semalam. Saya harap pihak berwajib dapat mengambil tindakan sewajarnya bagi mengatasi masalah ini,” katanya.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati penduduk sibuk melakukan pembersihan dan pembaikan akibat banjir malah banyak longgokan barangan yang rosak dikumpulkan untuk dibuang. – UTUSAN ONLINE 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya