Akaun Twitter Seri Paduka semalam dinyah aktif dipercayai ekoran komen-komen negatif dan biadap dari segelintir pengguna media sosial.

Kempen warga maya itu merupakan kesepakatan usaha untuk merayu Tuanku Azizah yang begitu disenangi oleh seluruh lapisan masyarakat mengaktifkan semula akaun Twitter baginda.

Kempen tersebut menjadi tular sehingga carian ‘Permaisuri Agong’ menjadi trending nombor satu disusuli #AmpunTuanku menduduki tangga ketiga ciapan paling banyak dalam laman itu.

Selain itu, warga maya turut menzahirkan sokongan dan mahu baginda mengabaikan komen-komen negatif yang tidak mencerminkan adab dan tatasusila rakyat Malaysia.

Komen-komen berbaur negatif dan sindiran yang dibuat warga maya
Komen-komen berbaur negatif dan sindiran yang dibuat warga maya terhadap Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah melalui laman Twitter, baru-baru ini. - UTUSAN ONLINE

Seorang pengguna @jezlai berkata, walaupun dirinya bukan seorang berketurunan Melayu, tetapi dia sangat mengagumi keperibadian Seri Paduka.

“Saya kerap meninggalkan komen apabila Raja Permaisuri membuat ciapan. Malah, komen saya juga mendapat banyak ulang ciap dan tanda suka. Sangat mengejutkan apabila orang Melayu sendiri melakukan buli siber kepada Permaisuri saya! Kurang ajar,” katanya di sini hari ini.

@ibcig menyifatkan Twitter seolah-olah sudah menjadi ‘toksik’ walaupun Seri Paduka terkenal dengan sifat ramahnya dan berjiwa rakyat.

“Apabila Seri Paduka membuat keputusan untuk meninggalkan dan menyahaktifkan akaunnya, maka saya juga bersedia untuk meninggalkan Twitter juga,” ujarnya.

Tindakan Seri Paduka itu dipercayai susulan beberapa komen negatif dari pengguna @frdsasrf, @RaisRzk dan @AnisKhalidi yang menyindir malah melakukan penghinaan terhadap Raja Permaisuri itu.

“Aku tak kisah sangat mulanya, tapi dah semua pakat sembah macam berhala, semak,” ciap @frdsasrf.

“Aku ralat sebab apa yang dahulunya simbol daulat negara pun dah macam jadi artis,” ciap @RaisRzk.

“Haha samalah, Saya dah tak mengikuti (akaun @cheminahsayang), rimas pula,” ciap @AnisKhalidi. –UTUSAN ONLINE