Pengerusi VIC, Muhammad Afiq Aiman Sukry berkata, Mohd. Johari adalah bapa tunggal yang menghidap penyakit angin ahmar akan tunggal keseorangan di rumahnya sedangkan dia gagal mengurus diri sendiri.

Menurutnya, sebelum ini Mohd. Johari tinggal di Rumah Seri Kenangan (RSK) di Pengkalan Chepa atas arahan mahkamah namun dihantar pulang ke rumahnya di Kampung Haji Wan Omar, dekat sini, kerana umurnya belum mencecah 50 tahun yang membolehkannya tinggal di RSK.

“Anaknya menghadapi dilema agar ada pihak tampil membantu. Adik beradik ayahnya sudah menyatakan tidak mahu mengurus kehidupan harian Mohd. Johari yang dikatakan berperangai seperti kanak-kanak dan sering hilang ingatan.

“Saya telah ziarah ke rumah mereka hari ini dan seharusnya ada pihak tampil membantu untuk mempermudahkan urusan Nurul Najwa menyambung pengajian,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Muhammad Afiq berkata, ibu Nurul Najwa meninggal dunia sejak empat tahun lalu menyebabkan hidup ayahnya tidak terurus.

Menurutnya, permohonan untuk meletakkan ayahnya ke RSK masih samar-samar kerana mengikut syarat utama JKM penghuninya mesti berumur 60 tahun keatas, rayuan telah dibuat oleh Nurul Najwa dan disokong oleh pihak UUM.

“Ada pihak yang mencadangkan agar bapa dihantar kepada pengurusan pondok di Kedah namun tidak dipersetujui Nurul Najwa yang banyak menaruh harapan terhadap pengurusan RSK di negeri ini.

“Untuk menempatkan ayahnya ke Rumah Penjagaan Swasta kos bulanannya mencecah RM2000 setiap bulan. Diluar kemampuannya yang juga menghadapi masalah kewangan untuk belajar selain mengharapkan sumber kewangan pinjaman PTPTN,” katanya.

“Kami dari kelab Sukarelawan (VIC) memohon tindakan segera dari pihak berwajib, permudahkanlah urusan mereka yang paling tidak membantu Mohd. Johari mendapatkan penjagaan yang sempurna,” katanya.

Mereka yang ingin membantu meringankan bebanan keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank - 156066379098, Nurul Najwa Mohd Johari.

Muhammad Afiq berkata, sekiranya ada mana-mana pusat Penjagaan yang ingin membantu secara percuma boleh terus wasap ke www.wasap.my/60199344077/. - UTUSAN ONLINE