Sumbangan itu disampaikan kepada Badan Keluarga Utusan Melayu (BKUM) ketika kumpulan tersebut hadir ke Ibu Pejabat Kumpulan Utusan hari ini.

Wakil kumpulan tersebut, Norila Mohd. Daud memberitahu, mereka terkejut apabila mengetahui keadaan Utusan dan tidak dapat membayangkan sekiranya akhbar yang sering memperjuangkan orang Melayu itu ditutup.

“Kami terkejut, sedih dan kecewa jika perkara itu terjadi kerana sebahagian besar daripada kami berkhidmat di Utusan sejak berusia awal 20-an sehingga bersara.

“Saya sendiri sudah berkhidmat di Utusan lebih daripada 35 tahun dan kami mahu syarikat ini terus beroperasi,” katanya ketika ditemui hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Utusan Melayu (M) Berhad mungkin menutup operasinya ekoran masalah kewangan kritikal.

Namun Selasa lalu, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Datuk Abd. Aziz Sheikh Fadzir memberitahu syarikat itu akan terus beroperasi dan meneruskan dua penerbitan akhbar di bawahnya seperti biasa. -UTUSAN ONLINE