Fuad Rahman berkata, sejak tahun lalu beliau mencadangkan supaya akhbar Utusan Malaysia dibeli oleh setiap ahli UMNO.

Namun, katanya yang bekas wartawan Utusan Malaysia, cadangannya itu hanya mendapat sindiran kerana dianggap langkah yang sudah terlambat.

Bagaimanapun, jelasnya, cadangan itu sekurang-kurangnya dapat membantu meningkatkan jumlah pembaca dan membantu pengiklanan dalam akhbar.

“Sejak tahun lepas saya sudah cadang supaya setiap ahli UMNO beli senaskhah akhbar Utusan Malaysia untuk tingkatkan jumlah pembaca yang juga boleh membantu pengiklanan dalam akhbar.

“Hal ini baru disedari oleh Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Bila saya cadang ini, ada orang sindir saya, sekarang baru nak buat,” katanya dalam status yang dimuat naik dalam Facebook hari ini.

Fuad yang kini berkhidmat di TV3 memberitahu, Utusan Malaysia amat dekat dengan dirinya kerana membacanya sejak di sekolah rendah kerana dilanggan oleh ayahnya.

Jelasnya, beliau mengaku hanya membaca Utusan Malaysia dan tidak pernah membaca akhbar lain walau pun sudah bekerja.

“Wahai orang Melayu,jangan dok kuat ‘gebang’ dalam Facebook saja. Keluar dan belilah senaskhah Utusan Malaysia hari ini. Saya sudah beli,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE