Majlis itu diadakan di Masjid Jamek Alma Jaya, di sini petang ini dengan dihadiri ahli-ahli kedua-dua parti kawasan itu diketuai Ketua UMNO Bahagiannya, Datuk Musa Sheikh Fadzir dan Yang Dipertua Pas Kawasannya, Norazman Ishak.

Dalam majlis itu, seramai 150 keluarga kurang bernasib baik termasuk golongan orang kurang upaya (OKU) di kawasan ini menerima sumbangan berupa barangan dapur serta wang tunai.

Turut menerima sumbangan adalah pihak pengurusan masjid berkenaan iaitu bantuan wang tunai sebanyak RM500 dan kesemua sumbangan itu adalah daripada UMNO dan Pas kawasan ini.

Sementara itu, Musa berkata, ini adalah kali pertama UMNO dan Pas bekerjasama memberi sumbangan Ramadan kepada golongan memerlukan di kawasan ini selepas penyatuan umah antara kedua-dua parti.

Menurut beliau, kerjasama hari ini juga adalah kesinambungan kerjasama antara kedua-dua parti yang mula terjalin selepas pilihan raya umum lalu dan akan terus diperkuatkan pada masa depan.

“Kita mengambil keberkatan Ramadan kali ini untuk memperkukuhkan lagi kerjasama antara kedua-dua parti supaya kita terus istiqamah dalam memperjuangkan dan mempertahankan kepentingan Islam dan Melayu.

“Dalam masa sama, saya juga mengajak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam bersama-sama perjuangan UMNO dan Pas ini dalam memartabatkan Islam dan Melayu di negara ini,” katanya kepada Utusan Malaysia pada majlis tersebut.

Sementara itu, Norazman berkata, kerjasama antara kedua-dua parti tersebut di kawasan ini dalam penganjuran program serta majlis tertentu bukan baharu kerana kedua-dua pihak sudah sering berkongsi pentas ceramah.

Malah, katanya, banyak lagi program yang sudah dirancang antara pemimpin kedua-dua parti itu untuk diadakan di kawasan ini pada masa depan termasuk sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

“Kerjasama ini adalah usaha kita untuk mengukuhkan lagi kesepakatan dan perpaduan sesama umat Islam dan orang Melayu menerusi platform politik yang benar-benar memperjuangkan dan membela nasib kita,” katanya. - UTUSAN ONLINE