Bagi Rahmat Ab. Rahman, 42; dan isterinya, Zarah Mohd. Nor, 35, serta tiga anak mereka, bekas stor yang terletak bersebelahan kandang lembu dan kambing itu menjadi tempat berteduh walaupun tidak mempunyai bekalan air bersih.

Menurut Rahmat, ekoran itu mereka terpaksa mandi di sungai berdekatan selain meng­angkut air dari rumah bapa saudaranya untuk kegunaan memasak dan minum.

“Kadangkala isteri dan anak-anak terpaksa pergi ke sungai pada waktu malam kerana malu untuk mandi pada waktu siang. Sesekali kami mandi di kawasan jeram di atas bukit tidak jauh dari rumah kerana airnya jernih dan bersih.

“Bagaimanapun saya sudah membeli sebuah pam untuk mengepam air menerusi getah paip ke rumah kami. Insya-Allah tak perlu lagi mandi di sungai, cuma bekalan air bersih untuk minum masih tiada,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Rahmat, dia me­nya­ra keluarga dengan mengambil upah menoreh getah de­ngan pendapatan antara RM100 dan RM150 seminggu, selain bekerja mengait petai, buah-buahan dan mengambil madu lebah di kawasan hutan.

“Saya juga membaiki motosikal dan lori penduduk yang rosak tetapi upahnya terpulang kepada mereka. Selain itu saya turut menjaga lembu dan kam­bing milik penduduk. Banyak pekerjaan saya buat tetapi pendapatan tidak menentu.

“Anak-anak yang berusia 13 bulan hingga tujuh tahun juga sudah biasa dengan kehidupan kami ketika ini. Walaupun kerap makan ikan masin dan sardin, mereka tak pernah mengeluh,” tambahnya.

Katanya, dia bersyukur kerana menerima bantuan persekolahan untuk dua anaknya di sekolah rendah dan taska berjumlah RM300 sebulan, sekali gus meringankan beban keluarganya.

Ujarnya, sebelum ini dia pernah memohon rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) sebanyak tiga kali tetapi gagal.

“Yang terbaharu, saya hantar permohonan sebelum bulan Ramadan lepas dan sehingga kini masih menunggu jawapan. Kalau belum rezeki saya mendapat rumah terpaksalah kami terus tinggal di bekas stor kepunyaan bapa saudara saya ini,” ujarnya.

Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan kepada keluarga ini boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Simpanan Nasional atas nama Rahmat (0511741000070182).