Mohd. Ramdan Mohamed, 9, yang bakal memasuki tahun tiga apabila bermulanya musim persekolahan tidak lama lagi sangat tenang malah sentiasa bersikap ceria serta tidak menunjukkan tanda-tanda dia sakit.

Menurut ibunya, Norhashimah Md. Lelah, 42, anak bongsu daripada lapan adik-beradik itu malah sangat teruja untuk memulakan sesi baharu persekolahan baharu tidak lama lagi.

"Mohd. Ramdan menghidap penyakit tulang belakang sejak lahir hingga menyebabkan kakinya tidak mampu bergerak dan hanya bergantung dengan bantuan kerusi roda.

"Walaupun begitu, dia sentiasa tersenyum jika bertemu dengan sesiapa sahaja selain sering bertanya bila sekolah hendak buka semula kerana tidak sabar untuk belajar dan bertemu rakan-rakannya," katanya.

Norhashimah ditemui pemberita selepas menerima sumbangan kelengkapan sekolah kepada anak-anak kurang berkemampuan oleh Ketua Menteri, Adly Zahari anjuran Parti Amanah Negara (Amanah) Cawangan Kota Melaka di Taman Seri Telok Mas, di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE