Video berdurasi 29 saat itu dirakamkan oleh orang ramai yang terkejut dengan kemunculan haiwan tersebut dipercayai meninggalkan habitatnya untuk mencari makanan.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri, Mohd. Hasdi Husin berkata, sepasukan penguat kuasa bergegas namun haiwan itu dipercayai telah pulang semula ke habitatnya.

“Pihak kami percaya tapir itu telah tersesat selepas keluar dari habitatnya di kawasan ladang berhampiran untuk mencari makanan.

“Pemeriksaan penguat kuasa di lokasi mendapati haiwan itu telah tiada dan kita percaya ia telah masuk semula ke kawasan ladang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat tentang sebarang penemuan tapir boleh menghubungi Jabatan Perhilitan kerana haiwan itu adalah kategori haiwan jadual kedua yang dilindungi. - UTUSAN ONLINE