Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, pihaknya berkemungkinan akan memohon tambahan peruntukan sebanyak RM50 juta menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM100 juta jika maklum balas permohonan diterima MPKK memberangsangkan.

Katanya, awal tahun ini dianggarkan hanya satu atau dua MPKK yang memohon peruntukan geran tersebut yang ditetapkan sebanyak RM10,000 bagi setiap komuniti namun jumlah itu semakin meningkat dalam tempoh dua bulan ini.

“Permohonan geran MPKK kita lihat semakin baik, pada awalnya kita nampak agak perlahan tetapi sekarang di Melaka sahaja kita terima lebih 100 permohonan dan saya dapati MPKK di seluruh negara kini mula bergerak agresif.

“Kementerian percaya peningkatan permohonan geran ini hasil daripada kursus induksi yang kita jalankan di setiap negeri kecuali di Sabah di mana kita ajar mereka (pengurusan MPKK) kaedah teori dan praktikal untuk membuat perancangan kewangan, kertas kerja dan cara memohon geran untuk memberi manfaat kepada penduduk khususnya masyarakat di luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri projek Program Ameniti Sosial dan melawat Balai Raya Kampung Pengkalan Minyak di Ayer Molek di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Norison Ramli.

Menurut Rina, geran MPKK yang diwujudkan oleh kerajaan bertujuan membangunkan ekonomi penduduk kampung bagi tujuan tanaman kecil seterusnya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.

Selain itu, ia juga bertujuan membolehkan setiap MPKK merancang projek keceriaan dan kesejahteraan kampung selain digunakan bagi melaksanakan program sosial termasuk gotong-royong dan aktiviti kemasyarakatan di kawasan masing-masing. - UTUSAN ONLINE