Timbalan Presiden Angkasa, Datuk Kamarudin Ismail berkata, sumbangan sejak tahun 2014 itu disalurkan termasuk kepada orang kurang upaya (OKU) bertujuan membantu meringankan hidup mereka.

"Dana yang disalurkan ini termasuk hasil infak oleh Angkasa sendiri, anggota koperasi, pelanggan potongan gaji, agensi korporat dan individu.

"Kami agihkan dana ini kepada pelbagai saluran seperti pusat perlindungan, pusat penjagaan, perkhidmatan kesihatan dialisis, pusat perniagaan koperasi, institusi pendidikan serta pembelian bangunan untuk diwakafkan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Majlis Perasmian Laman Agro Coop Care Angkasa-Faqeh Jom Tanam Sejuta Pokok di sini hari ini.

Yang turut hadir Naib Presiden Angkasa, Datuk Che Mohd. Shukree Che Isa; Pengerusi Yayasan Faqeh, Syar Meeze Mohd. Rashid dan Pengurus Besar Bahagian Komunikasi Korporat Angkasa, Borhan Mat Aris.

Sementara itu, Kamarudin berkata, projek Laman Agro Coop Care Angkasa- Faqeh memberi peluang kepada kanak-kanak istimewa di Akademi Faqeh menanam sayur-sayuran organik.

Jelasnya, program itu secara tidak langsung dapat meningkatkan kemahiran motor kasar, sosial dan kemahiran perniagaan dalam kalangan kanak-kanak terbabit.

Beliau berkata, sukarelawan Angkasa bersama warga Akademi Faqeh menyemai 300 benih sayur-sayuran di premis akademik berkenaan melalui program tersebut.

Akademi Faqeh merupakan pusat pengajian al-Quran untuk kanak-kanak OKU pelbagai kategori termasuk autisme, sindrom down, disleksia, lembam dan pekak. - UTUSAN ONLINE