Persoalannya sejauh mana tahap keberkesanannya sehingga ramai yang sanggup menolak khidmat nasihat termasuk kaedah rawatan ditawarkan pakar perubatan bertauliah yang ternyata dilakukan mengikut kajian saintifik.

Lebih membimbangkan, apakah risiko dan kesan daripada ketaasuban orang ramai terhadap rawatan alternatif berbanding industri perubatan moden.

Ikuti laporan wartawan S2, ASHRIQ FAHMY AHMAD dan ZULHILMI ZAINAL yang mengupas berhubung isu berkenaan daripada aspek kebaikan dan kelemahan antara kedua-dua kaedah rawatan tersebut.

Berisiko menjadi lebih parah

TERDESAK untuk kembali pulih dengan kadar segera daripada penyakit dihadapi menjadi antara faktor ramai dalam kalangan masyarakat negara ini beralih kepada rawatan alternatif sekali gus meminggirkan perubatan moden.

Menurut Pegawai Perubatan Kanan, 813 Rumah Sakit Angkatan Tentera (RSAT), Kapal Diraja Sultan Ismail, Leftenan Kolonel Dr. Rusyainie Ramli , senario itu membabitkan ramai pesakit yang menderita penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, jantung, kanser, gout dan pelbagai lagi.

Jelasnya, keadaan tersebut secara tidak langsung membuatkan ramai pengamal perubatan alternatif yang tidak diiktiraf dengan Kementerian Kesihatan mengambil kesempatan menawarkan kaedah perubatan alternatif yang tidak masuk akal semata-mata mahu mengaut keuntungan.

“Apa yang menjadi masalah dalam masyarakat kita hari ini, terdapat pesakit kronik yang meninggalkan terus perubatan moden dengan beralih sepenuhnya kepada perubatan alternatif.

“Malangnya apabila keadaan menjadi teruk baru mereka menyesal dan merujuk semula ke hospital,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Dalam pada itu, Rusyainie yang juga merupakan ahli Medical Mythbuster Malaysia menjelaskan apabila kesihatan pesakit sudah berada pada tahap kritikal, tiada apa lagi dapat dilakukan, waima perubatan moden yang terbaik sekali pun. 

“Mereka sepatutnya jadikan rawatan alternatif sebagai sampingan kepada rawatan moden, bukan beralih secara total kerana pesakit masih memerlukan pemeriksaan lanjut serta khidmat nasihat daripada pakar perubatan sebelum mendapatkan mana-mana rawatan alternatif.

“Kami tidak menolak perubatan tradisional, berbincang dahulu dengan doktor yang merawat, kami hanya mahu memastikan pesakit tidak menerima rawatan yang tidak terbukti berkesan dan memudaratkan,” katanya.

Di samping itu, Kementerian Kesihatan turut mengawal selia perubatan alternatif menerusi Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari 2016 (Akta 775) yang diwartakan pada 22 Julai 2016.

Malah baru-baru ini tular video dalam media sosial yang memaparkan membuang darah kotor dikenali sebagai ‘berpetik’ dijalankan seorang pengamal perubatan alternatif bertujuan mengurangkan kesakitan pesakit gout. 

Mengulas berhubung kes berkenaan, Rusyainie memaklumkan penggunaan jarum yang dicucuk di salur darah utama (arteri) pada kaki pesakit hanya mengundang bahaya kerana salur darah tersebut berfungsi membekalkan oksigen dan nutrien ke bahagian hujung kaki. 

“Mungkin benar pesakit akan berasa lega, namun ia adalah kesan psikologi yang bersifat sementara sedangkan masalah penyakit gout masih tidak diatasi sepenuhnya,” ujarnya.

Tambahnya, ramai juga masyarakat Melayu khususnya mempunyai kepercayaan bahawa perubatan moden lebih mengagungkan kaedah perubatan Barat yang dikatakan tidak selari dengan ajaran Islam.

“Ada juga yang berpendapat ubat-ubatan moden itu hanya menguntungkan syarikat farmaseutikal gergasi dunia, menyebabkan sesetengah pesakit beralih kepada perubatan alternatif sepenuhnya.

“Ini merupakan persepsi salah kerana kaedah perubatan moden sebenarnya berteraskan bukti dan kajian saintifik mengikut garis panduan klinikal bagi memastikan pesakit mendapat rawatan terbaik bersesuaian dengan penyakit dihidapi,” katanya.