Program tersebut dilakukan ahli-ahli Kelab Usahawan Bandar Meru Raya (KUBMR) dengan kerjasama butik pakaian Gondola31.

Penyelaras program, Hamirul Asraf Zainol Abidin berkata, kesemua pakaian yang disumbangkan itu adalah pakaian baharu sebagai persiapan penghuni RSK menyambut Syawal.

“Pakaian ini diterima daripada salah satu jenama vendor yang terdapat di butik Gondola31 iaitu Brand Bainy.

“Kita hanya mengambil masa sehari sahaja untuk mengumpulkan pakaian berkenaan sebelum diserahkan kepada pihak pengurusan RSK,” ujarnya ketika ditemui.

Menurut beliau, program tersebut adalah kali pertama diadakan oleh pihaknya sebagai satu inisiatif kebajikan bagi meraikan Syawal.

Katanya, idea untuk mengadakan program ini timbul hasil perbincangan antara ahli-ahli KUBMR tentang apa bentuk sumbangan yang boleh diberikan bagi menyantuni golongan kurang bernasib baik.

“Kita memilih menyumbang pakaian kerana sedar antara perkara yang boleh menggembirakan sesiapa sahaja semasa Syawal ialah apabila dapat menyarung baju baharu.

“Melihat sambutan yang diterima kita berhasrat untuk mengajurkan lagi program serupa pada masa hadapan,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE