Program tersebut diadakan dengan kerjasama Srikandi Bersatu Masjid Tanah, Bersatu Masjid Tanah dan Pejabat Khidmat Rakyat Parlimen Masjid Tanah.

Ketua Srikandi Bersatu Melaka, Azalina Abdul Rahman berkata, program itu diadakan bukan setakat memeriahkan sambutan Aidiladha malah mengeratkan hubungan silaturahim sesama ahli parti itu di seluruh negeri.

"Selain menyambut hari raya untuk umat Islam, ahli bersatu juga perlu menghayati pengorbanan pemimpin tertinggi parti yang berjuang menegakkan keadilan demi rakyat.

"Mereka selama ini berdepan dengan pelbagai ancaman dan tekanan termasuk dilucutkan jawatan serta ditarik pelbagai keistimewaan di dalam tempoh pemerintahan kerajaan terdahulu," katanya ketika berucap pada program itu.

Program korban lembu hasil sumbangan Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Harun diadakan pada pukul 8 pagi semalam, diikuti gotong-royong memasak yang dipimpin oleh Srikandi Bersatu Masjid Tanah iaitu Maria Yusoff.

Majlis kenduri rakyat bermula pukul 8 malam turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Masjid Tanah, Nazri Ramli dan dirasmikan oleh Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Sementara itu, Mas Ermieyati turut menekankan soal semangat patriotisme sepanjang bulan kemerdekaan dalam ucapan beliau.

"Diharapkan penganjuran program seperti ini dapat mengeratkan hubungan antara ahli-ahli Srikandi dengan masyarakat setempat," katanya. - UTUSAN ONLINE