Seawal jam 8.30 pagi, beliau bersama isteri, Toh Puan Seri Che Kamariah Zakaria sudah berada di dewan itu menerima tetamu dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk kaum Cina dan Siam.

Lebih 5,000 termasuk dari parti komponen Barisan Nasional (BN) Besut, Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) selain wakil dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan ahli Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO turut hadir.

Pertama kali setelah Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, kepemimpinan Pas Besut yang diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd. Nurkhuzaini Ab. Rahman juga hadir pada majlis tersebut..

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera bersama Pegawai Penyelaras DUN Kuala Besut, Azbi Salleh dan dua lagi pegawai peringkat DUN diraikan oleh Idris. 

Majlis itu turut dimeriahkan dengan kehadiran Ketua UMNO Bahagian Besut, Nawi Mohamad yang juga ADUN Hulu Besut; Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Datuk Muhammad Pehimi Yusof; Naib Ketua UMNO Bahagian, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman yang juga ADUN Kuala Besut.

Pelbagai juadah tradisional disediakan kepada tetamu seperti nasi minyak, nasi dagang, lempeng nyiur, ketupat, lemang, tapai pulut selain kuih peneram dan biskut raya.

Idris ketika ditemui berkata, kehadiran semua pihak  itu secara tidak langsung  menggambarkan kerjasama dan ukhuwah masyarakat dan parti-parti komponen serta NGO.

"Kehadiran kepemimpinan Pas yang diketuai oleh Exco (Mohd. Nurkhuzaini) memperlihatkan satu petanda kerjasama yang baik antara UMNO dan Pas yang membawa natijah yang baik," katanya. - UTUSAN ONLINE